Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Universiti Sains Malaysia (USM) kini mempunyai sebanyak 1,925 titik akses Wi-Fi yang beroperasi hasil pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Ia sekali gus memperkukuh capaian internet berkelajuan tinggi bagi menyokong keperluan pembelajaran dan kehidupan kampus yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kemudahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menikmati kemudahan internet yang lebih stabil, pantas dan berkualiti.
Katanya, pelaksanaan projek itu bertujuan meningkatkan kapasiti serta kualiti capaian Wi-Fi di kawasan yang menjadi tumpuan warga kampus seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.

“Di USM, sebanyak 822 titik akses tambahan di bawah Projek Wi-Fi IPTA fasa tiga berjaya disiapkan pada 18 September lalu, iaitu lebih awal daripada sasaran asal pada 23 September.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 740 titik akses dipasang di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, manakala masing-masing 41 titik akses di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam serta Kampus Bukit Jambul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, USM di sini, hari ini bagi meninjau pelaksanaan Projek Wi-Fi IPTA yang dibiayai menerusi dana USP.
Jelasnya, pemasangan itu melengkapkan 1,103 titik akses yang telah disediakan menerusi fasa dua pada Julai tahun lalu, sekali gus menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses kini beroperasi di semua kampus USM setakat 30 September lalu.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, kerja pemasangan tambahan membabitkan 4,150 lagi titik akses di Kampus Induk USM sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 Oktober ini.
Beliau berkata, pencapaian USM adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif peluasan Wi-Fi di Pulau Pinang yang melibatkan 32 lokasi merangkumi IPTA serta institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Setakat 29 September lalu, sebanyak 24 lokasi atau 75 peratus daripada keseluruhan projek di Pulau Pinang telah siap dilaksanakan dengan anggaran pelaburan berjumlah RM61.5 juta menerusi dana USP,” katanya.
Nie Ching berkata, pada peringkat nasional pula, projek berkenaan melibatkan 538 lokasi di seluruh negara dengan anggaran pelaburan kira-kira RM634.1 juta.
“Sehingga 30 September lalu, sebanyak 408 lokasi atau 76 peratus telah berjaya disiapkan, manakala baki lokasi sedang dalam pelaksanaan secara berperingkat,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pendidikan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperluaskan capaian internet berkualiti ke lebih banyak institusi.
Beliau berkata, MCMC komited memastikan setiap pelaburan melalui dana USP memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa, tenaga pengajar dan komuniti pendidikan, sekali gus menyokong pembangunan modal insan serta pertumbuhan ekonomi digital negara.
IMedikel TV






