Home Buletin Semasa UNIKNYA KETUPAT JANTUNG

UNIKNYA KETUPAT JANTUNG

170
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Anyaman ketupat persegi dan tudung saji sudah biasa kita lihat, namun, ada anyaman ketupat berbentuk jantung yang mungkin belum mendapat pasaran yang meluas dalam masyarakat kita.

Selain rasa yang sedap dan lemak manis keunikan bentuk ketupat jantung menjadi salah satu sebab makanan tradisional itu mendapat permintaan tinggi daripada penggemar ketupat.

Pengusaha ketupat, Ruslina Ab. Rahman, 60, berkata keunikan ketupat tersebut berbeza dengan ketupat jenis lain kerana ketupat jantung tidak memerlukan daun yang sama besar dan panjang seperti ketupat berbentuk tiga segi.

“Keunikannya adalah kita boleh menganyam ketupat jantung menggunakan daun yang pendek dan kecil. Disebabkan itu saya berminat untuk membuat ketupat jantung.

“Uniknya ketupat jantung ni kerana masih belum dipasarkan secara meluas. Mungkin mereka juga belajar cuma lebih memilih untuk membuat ketupat jenis persegi dan tudung saji,”kata  nya.

Ruslina berkata, dia mempelajari kemahiran membungkus ketupat berbentuk jantung itu daripada arwah ibunya, Che Minah Yusof 40 tahun lalu.

Namun katanya, dia mula aktif menerima tempahan sejak 10 tahun kebelakangan ini selepas peminat makanan tradisional tersebut semakin bertambah dan permintaan juga tinggi.

“Saya dah buat ketupat ni sejak 40 tahun lalu. Namun tidak terbuka luas seperti sekarang. Tempahan ni saya dapat daripada orang kampung dan sekitarnya.

“Mereka lebih suka tempah yang berbentuk jantung berbanding yang tiga segi kerana ia lebih cantik untuk dihias di dalam bekas,”katanya.

Ruslina berkata, setiap hari dia membungkus kira-kira 800 ketupat jantung, dan jumlah itu semakin bertambah kerana menerima tempahan dari seluruh negara untuk Hari Raya Aidiladha nanti.

Menurutnya bagi mengekalkan tradisi ketupat jantung, dia kini sedang mengajar anaknya Nur Asmieda Abdullah teknik membungkus ketupat berkenaan.

Katanya, dia menghasilkan empat jenis perisa antaranya, pulut hitam, lemak manis, lemak dan serunding daging.

Tambahnya dia juga menghasilkan ketupat jantung sejuk beku untuk memudahkan pengeposan kepada pelanggannya dari luar Kelantan.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here