KUALA LUMPUR: Pelakon, Ummi Nazeera, 36, meluahkan rasa syukur dan kagum terhadap keperibadian rakan pelakon, Azhan Rani.
Memetik laporan Harian Metro, Ummi atau pemilik nama Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkongsi momen bersama Azhan yang membantunya menunaikan impian mencium Hajarul Aswad di Makkah ketika melakukan penggambaran bersama baru-baru ini.
“Abang An (Azhan Rani) memang baik sangat hati dia. Masa saya pergi Makkah, ‘shooting’ (membuat penggambaran) dengan dia, dialah yang tolong saya untuk cium Hajarul Aswad,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Ummi, memandangkan fizikalnya yang kecil dan keadaan lautan manusia yang luar biasa pada ketika itu, dia menyangka peluang untuk mendekati Hajarul Aswad adalah mustahil.
Apa yang menyentuh hati Ummi adalah apabila Azhan sendiri yang menawarkan bantuan tanpa diminta.
“Masa itu memang ramai sangat orang. ‘Almost impossible’ (Hampir mustahil) rasa. Saya pula kecil je kan. Tapi Abang An yang tanya dulu, ‘Ummi nak cium Hajarul Aswad tak?” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Ummi menyifatkan pelakon drama Nur itu sebagai seorang saudara lelaki yang luar biasa, Ummi bersyukur wujudnya orang yang baik seperti Azhan.
“Allah… what an amazing brother (abang yang hebat). Alhamdulillah untuk orang-orang seperti ini,” tulisnya lagi.
Terdahulu, tular sebuah hantaran di platform Threads oleh sebuah akaun yang memuji tindakan Azhan membelanja makanan ayam Mcdanish kepada anak sulung pelakon, Amyza Aznan, Allahyarham Andre Mikhail. – HMetro Online –
IMedikel TV






