Home Hiburan UJIAN BUKAN MEMATAHKAN SEMANGAT TAPI MEMATANGKAN, LUAH ISTERI NUBHAN

UJIAN BUKAN MEMATAHKAN SEMANGAT TAPI MEMATANGKAN, LUAH ISTERI NUBHAN

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi Nubhan Ahamad, 36, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie meluahkan perlu reda dengan ujian dalam kehidupan yang dilaluinya.

Memetik laporan Harian Metro, dalam hantaran dimuat naik Dr Fie, 35, di InstaStory, dia turut menulis bahawa Allah memberikan sesuatu dan akan menariknya bukan untuk mematahkan semangatnya, sebaliknya mematangkannya.

“Kerana bila aku memilih tenang, aku memilih untuk kembali kepada Allah. Dari zikirullah, Allah turunkan sakinah. Dari sakinah, lahir kekuatan. Tenangku bukan milikku, tapi hadiah dari Dia yang Maha Menjaga.

“Nak Allah redha dengan kita, kita kena redha dengan takdir Allah. Begitu juga syukur. Alhamdulillah dengan apa yang kita mahu, kita dapat.. tetapi syukur juga apa yang kita nak Allah belum bagi lagi.

“Sebab Allah akan bagi pada masa yang tepat iaitu perlu bersyukur dengan ujian,” tulisnya pada beberapa InstaStory.

Pada hantaran lain, Dr Fie turut menulis memohon kepada Allah agar membalas doa-doa sahabatnya yang banyak membantu dalam menghadapi ujian kehidupan ketika ini.

“Ya Allah, hanya Engkau yang mampu membalas doa-doa sahabat yang singgah di jalan hidupku,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku bukanlah satu kehilangan, tetapi sudah dipulangkan.

“Tiada apa yang di dunia ini miilik kita. Redha itu sulit, ikhlas itu sukar, sebab kita hamba, kita milik Dia,” tulisnya pada hantaran lain.

Pada 26 November lalu, Dr Fie bersyukur selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membuat keputusan memberikan hak hadanah atau penjagaan tetap tiga anaknya kepadanya.

Dia sangat berterima kasih kepada pihak Nubhan kerana banyak memberi kerjasama untuk mendapat hak jagaan penuh anak-anak mereka.

Terdahulu Nubhan dan Dr Fie bernikah pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayillle, 3.

Pada September lalu, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh serta interim terhadap tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Sebelum itu, Nubhan juga memfailkan permohonan pengesahan perceraian untuk dua lafaz cerai dilakukannya dan satu lafaz rujuk terhadap Dr Fie di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Prosiding sebutan kes perceraian pasangan ini akan disambung pada 2 Disember ini.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here