Home Buletin Semasa JPJ KELANTAN PERIKSA 7,472 KENDERAAN DALAM OPS PERANG LEBIH MUATAN

JPJ KELANTAN PERIKSA 7,472 KENDERAAN DALAM OPS PERANG LEBIH MUATAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan memeriksa 7,472 kenderaan perdagangan sepanjang pelaksanaan Ops Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan bermula 14 Oktober hingga 27 November lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,682 kenderaan diambil tindakan, manakala 2,751 kesalahan direkodkan.

“Kita juga menyita lima kenderaan yang didapati membawa muatan melebihi 50 peratus had dibenarkan.

“Kebanyakan kes ini berlaku di sekitar Pasir Puteh, khususnya laluan berhampiran kawasan kuari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 2/2025 di JPJ Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga 31 Disember bagi menangani risiko keselamatan akibat kenderaan perdangangan yang membawa muatan berlebihan seperti batu, tanah, kelapa sawit dan kayu balak.

Jelasnya, ops berkenaan dilaksanakan bukan semata-mata untuk memerangi penggiat industri berkaitan menjalankan aktiviti atau perniagaan mereka, sebaliknya menitikberatkan kelestarian dan keselamatan pengguna jalan raya lain termasuk pemandu lori itu sendiri.

“Kenderaan yang bawa muatan lebih boleh menyebabkan ianya sukar dikawal dan menjejaskan momentumnya, dari sudut teknikal juga menyebabkan brek sukar berfungsi dengan baik.

“Keadaan ini amat membahayakan pemandu itu dan pengguna lain, namun selepas operasi ini, kita dapati kes tersebut semakin berkurang dan mereka memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JPJ turut menawarkan pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus sehingga Disember ini bagi saman baharu atau tertunggak yang tidak membabitkan kes mahkamah.

Sehingga kini, JPJ Kelantan berjaya merekodkan RM9.22 juta kutipan kompaun bagi tempoh Januari hingga 27 November lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here