Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai pesakit lutut cenderung mencari minyak urut, krim atau pil ajaib bagi meredakan kesakitan, namun penyelesaian sebenar sebenarnya lebih mudah iaitu menurunkan berat badan.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), penurunan berat badan walaupun sedikit mampu memberi kelegaan segera pada sendi lutut.
Dalam kenyataan itu kajian menunjukkan penurunan satu kilogram berat badan boleh mengurangkan sehingga empat kilogram tekanan pada lutut setiap kali melangkah.
Jika berjaya menurunkan lima kilogram, ia ibarat melepaskan beban 20 kilogram daripada lutut setiap hari.
PHM menegaskan, perubahan tidak perlu drastik, sebaliknya boleh dimulakan dengan langkah kecil yang konsisten seperti menukar air manis kepada air kosong, menggunakan pinggan kecil untuk kawalan hidangan, menambah sayuran dalam diet harian, berjalan di permukaan rata serta mengelakkan gangguan skrin ketika makan.
Tidur mencukupi juga penting untuk mengawal keseimbangan tubuh dan nafsu makan.
Langkah kecil itu mungkin nampak remeh, tetapi apabila diamalkan setiap hari, ia membawa perubahan besar. Berat badan berkurang, lutut kembali ringan, dan setiap pergerakan lebih mudah. Lutut bukan musuh, ia hanya penat menanggung beban terlalu lama.
Kenyataan itu menekankan bahawa menurunkan berat badan adalah kunci dalam mengurangkan kesakitan lutut dan meningkatkan kualiti hidup.
Bagaimanapun anda boleh mengikuti tips di bawah untuk mengurangkan sakit lutut.
- Ganti minuman manis dengan air kosong
- Guna pinggan lebih kecil
- Tambah sayur dalam setiap hidangan
- Berjalan ke kaunter/parking lebih jauh
- Tidur cukup
- Gunakan tangga, bukan lif
- Belai haiwan peliharaan (si bulus)
- Berjalan berkaki ayam (di permukaan sesuai)
IMedikel TV






