Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KEDAH: Seramai tujuh calon perantis Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Koordinasi Seni Beladiri ET-015-4:2013, kaedah Akademi Dalam Industri (ADI), di Institut Silat Seni Gayong (ISG) Malaysia menyertai latihan intensif bersama Tokoh Gayong dan Pakar Tempur Tanpa Senjata, Awang Daud.
Pengarah ISG Malaysia, Muhamad Amru Rusli berkata, latihan khas selama empat hari bermula 16 hingga hari ini turut disertai hampir 40 perantis Program Persediaan Awal Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Gayong TVET Martial Arts yang terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Program diketuai Awang Daud, Pengasas Awang Daud Martial Arts Academy (ADMAA), bersama barisan jurulatih tertinggi termasuk anak beliau, Zulhardi Awang, yang memberikan pendedahan ilmu, kemahiran dan latihan khas dalam bidang seni beladiri,” katanya selepas Program Perantis Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Koordinasi Seni Beladiri, Gayong, TVET Martial Arts di Gurun, di sini, hari ini.
Muhamad Amru berkata, latihan itu menjadi platform bagi memperkukuh penguasaan ilmu dan kompetensi perantis menerusi pengalaman pembelajaran secara langsung bersama tokoh serta tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, penyertaan tujuh calon DKM itu merupakan sebahagian usaha ISG Malaysia memperkukuh laluan pendidikan kemahiran profesional dalam bidang seni beladiri menerusi kaedah ADI yang menghubungkan pembelajaran, latihan amali dan pengalaman industri.
Tambahnya, Program Persediaan Awal SKM Gayong TVET Martial Arts turut menjadi platform penting dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan perantis menerusi pendekatan pendidikan dan latihan berasaskan TVET seni beladiri.
“Program ini memberikan pendedahan awal kepada pelajar sekolah dan IPT untuk membina kemahiran, disiplin serta pengetahuan dalam bidang seni beladiri melalui pendekatan pendidikan dan latihan yang lebih tersusun.
“Latihan intensif bersama tokoh dan tenaga pengajar berpengalaman seperti Tuan Guru Haji Awang Daud menjadi satu pengalaman pembelajaran yang penting dalam usaha memperkukuh kompetensi para perantis,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran latihan khas itu mencerminkan komitmen ISG Malaysia memperkasa Sistem Pendidikan Gayong 2.0 melalui pembangunan pendidikan kemahiran, latihan berstruktur serta penglibatan tokoh dan tenaga pengajar berpengalaman.
Beliau berkata, ISG Malaysia sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) dan Pusat Bertauliah (ADI) Rasmi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam bidang seni beladiri terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan kemahiran dan kompetensi perantis.
“Melalui Program Gayong TVET Martial Arts, ISG berusaha mengembangkan bidang seni beladiri daripada sekadar latihan fizikal kepada satu bidang pendidikan dan pembangunan kerjaya yang mempunyai laluan kompetensi, latihan profesional serta pensijilan kemahiran,” katanya.
Katanya, latihan intensif itu turut menyokong usaha melahirkan generasi perantis yang bukan sahaja menguasai kemahiran seni beladiri, malah memiliki disiplin, pengetahuan dan kompetensi untuk menyumbang kepada pembangunan bidang seni beladiri di Malaysia.
IMedikel TV






