Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Sebanyak 14 institusi perbankan sudah menawarkan pembiayaan sewa beli menggunakan kaedah baki berkurangan susulan pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata enam lagi institusi perbankan memberi komitmen untuk melaksanakan kaedah berkenaan selewat-lewatnya pada 31 Disember depan.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 429 penyedia perkhidmatan sewa beli yang berdaftar, kementerian menyasarkan 80 peratus akan beralih kepada mekanisme baharu itu menjelang akhir tahun ini, manakala baki 20 peratus lagi dijangka berbuat demikian sebelum tamat tempoh peralihan pada 31 Mac 2027.

“Mulai 1 April 2027, semua penyedia perkhidmatan sewa beli diwajibkan mematuhi sepenuhnya peruntukan baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.
“Kerajaan memberi tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027 bagi membolehkan semua penyedia perkhidmatan sewa beli menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi masing-masing dengan keperluan baharu,” katanya pada sidang media sempena Festival Pengguna (CONFEST 2026) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata, kementerian kini turut menilai impak pelaksanaan pindaan akta itu dengan mengumpulkan data sepanjang enam bulan pertama bagi mengenal pasti bilangan pengguna yang menerima manfaat daripada mekanisme baharu berkenaan dengan datanya dijangka diumumkan pada Januari tahun depan.
“Setakat maklum balas yang diterima, penggunaan pembiayaan di bawah mekanisme baharu ini menunjukkan peningkatan, sekali gus membuktikan ia memberi manfaat kepada pengguna.
“Sasaran kita pada Januari nanti ialah mengumumkan berapa ramai rakyat yang sudah menerima manfaat daripada Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” katanya.
Beliau berkata, pindaan akta yang diwartakan pada 30 Januari lalu memperkenalkan pembaharuan penting bagi mewujudkan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil dan telus.
Katanya, antara perubahan utama ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78) yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pembiayaan sewa beli.
“Menerusi kaedah baki berkurangan, bayaran bulanan bukan sahaja meliputi faedah, malah mengurangkan baki prinsipal pinjaman sejak awal tempoh pembiayaan.
“Justeru, pengguna yang membuat penyelesaian awal akan menikmati jumlah bayaran yang lebih rendah berbanding kaedah rule of 78 yang digunakan sebelum ini,”katanya.
IMedikel TV






