Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset menyasarkan untuk memperluas pasaran ke Singapura dan Indonesia susulan pembukaan cawangan ke-21 di pusat beli-belah Toppen, di sini.
Ketua Pegawai Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, berkata pembukaan cawangan berkenaan dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kehadiran jenama itu di Johor Bahru yang menjadi antara destinasi membeli-belah utama bagi pelancong dari kedua-dua negara jiran.
“Kita sedia maklum Johor Bahru adalah destinasi membeli-belah utama, terutama bagi pelanggan dari Singapura dan Indonesia.
“Oleh itu, kami sudah menyediakan pelan strategik untuk menarik minat mereka terhadap jenama kami, sekali gus membuka peluang kepada Bayu Somerset menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan Bayu Somerset di Pusat Beli-belah Toppen, di sini, hari ini.
Pembukaan cawangan berkenaan turut diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia, sekaligus meraikan anak Johor yang mencipta kejayaan, memberi inspirasi dan menyumbang bakti kepada masyarakat.
Dania berkata, pihaknya berbesar hati dapat meraikan pembukaan cawangan berkenaan bersama individu daripada pelbagai latar belakang yang memberi sumbangan bermakna kepada negeri Johor.
“Kami teruja dan berbesar hati dapat meraikan pembukaan cawangan ke-21 bersama anak-anak Johor yang diundang khas memeriahkan majlis pada hari ini.
“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran dengan membawa cerita, pengalaman serta kisah inspirasi tersendiri.
“Sudah tentu kami amat mengagumi khidmat bakti mereka terhadap negeri yang disayangi ini,” katanya.
Antara individu yang menerima penghargaan ialah pensyarah dan penyanyi, Najwa Latif, yang juga anak kelahiran Batu Pahat dan mencipta nama dalam bidang seni sejak usia remaja sebelum bergelar pensyarah TESL di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut diraikan ialah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas muncul juara Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.
Bayu Somerset turut memberikan penghargaan kepada profesional komunikasi korporat, Yusuf Hassan, yang mempunyai kepakaran dalam produksi video dan bertanggungjawab mengetengahkan profil serta aktiviti Johor Corporation (JCorp).

Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari turut diraikan sebagai wakil generasi muda yang terus menghidupkan seni dan ekspresi budaya menerusi persembahan, selain mengharumkan nama Johor di persada antarabangsa.
Dania berkata, pembukaan cawangan ke-21 itu bukan sekadar menambah rangkaian lokasi perniagaan, malah menjadi simbol lembaran baharu Bayu Somerset dalam memperkukuh kedudukannya di Johor.
“Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, menjadi sebahagian daripada cerita istimewa Johor,” katanya.
IMedikel TV






