Home Buletin Semasa LELAKI ROHINGYA DITEMUI PARAH DI LEHER, EMPAT DITAHAN

LELAKI ROHINGYA DITEMUI PARAH DI LEHER, EMPAT DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan hirisan dan tetakan pada leher dalam kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Pusat Kawalan Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima maklumat berhubung penemuan mangsa kira-kira jam 12.12 tengah malam.

Beliau berkata, susulan maklumat itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pengkalan Chepa dan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di rumah kongsi berkenaan.

“Hasil siasatan dan maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kawasan Taman Desa Kujid, Panji, Kota Bharu.

“Serbuan itu membawa kepada penahanan empat individu, terdiri daripada seorang lelaki Cina serta seorang lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar (Rohingya), berusia antara 22 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, semakan awal mendapati kesemua individu yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya polis turut merampas sebuah Mitsubishi Triton bersama kunci serta empat telefon bimbit.

Katanya, permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat di Mahkamah Kota Bharu dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 September ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Bharu di talian 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here