Home Buletin Semasa TOLAK MEREKA YANG CUBA BANGKIT SENTIMEN PERISTIWA 13 MEI

TOLAK MEREKA YANG CUBA BANGKIT SENTIMEN PERISTIWA 13 MEI

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk ahli politik yang cuba memainkan atau membangkitkan sentimen 13 mei untuk meraih sokongan hendaklah ditolak.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohd Arshad Raji, berkata tindakan sedemikian bukan hanya meracuni dan memesongkan pemikiran rakyat dengan dakyah kebencian dan fitnah, serta menghalang penyatuan dan perpaduan rakyat.

Walaupun negara sudah mencapai 66 tahun kemerdekaan, beliau berkata, masih ada pihak yang mempersoalkan serta mempolitikkan perbezaan sesama kaum dan agama.

“Kita sepatutnya sudah menjadi sebuah negara model atau contoh yang berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaum kepada satu bangsa yang dikenali sebagai bangsa malaysia.

“Namun amat malang sekali, kita masih bertelagah dan tidak dapat pastikan apakah identiti kita sebenarnya.

“Di luar kita mengaku kita adalah ‘Malaysian’ tetapi kenapa enggan mengakui rakyat negara ini bila di negara kita sendiri,” katanya kepada BH.

Mohd Arshad berkata, peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1963 hingga 1966, Darurat Malaya Pertama pada 1948 hingga 1960, dan kebangkitan komunis pada 1968 hingga 1989 sepatutnya menjadi pengajaran untuk semua.

“Ratusan rakyat terbunuh dalam semua peristiwa ini sama ada orang awam dan anggota keselamatan. Mahukah kita lihat peristiwa seperti ini berulang semula.

“Namun masih ada di kalangan orang politik sekarang yang mengungkitkan peristiwa 13 Mei dan menyalahkan satu pihak sahaja. Di mana anda ketika peristiwa itu berlaku… jika belum lahir eloklah diam sahaja,” katanya.

Beliau berkata, hari ini menjadi sesuatu yang luar biasa dalam kancah politik tanah air apabila mahu merebut kuasa di luar amalan demokrasi.

“Apabila sudah ada kuasa politik dan pemerintahan, harta, wang jawatan pula jadi rebutan termasuklah dalam badan berkaitan kerajaan (GLC). Adakah ini berlaku dalam pemerintahan terdahulu?,” katanya.

Beliau menegaskan, Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK) yang terdiri daripada 60 badan bukan kerajaan (NGO), tidak akan berpihak kepada mana-mana parti politik atau menjadi alat untuk parti politik bertelagah namun mereka tidak akan berdiam diri sekiranya berlaku kepincangan angkara fitnah dan hasutan. – BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here