Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG:Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata sebaliknya semua sekolah aliran berkenaan akan terus diberi tumpuan sewajarnya, khususnya daripada aspek pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan fasiliti.
Beliau menjelaskan, komitmen itu turut merangkumi pelaksanaan pelbagai program bagi memperkukuh tahap profesionalisme guru serta pencapaian para pelajar.
“Saya berpegang kepada penegasan ini kerana saya fikir masih ada lagi di dalam masyarakat kita yang memberikan satu pandangan bahawa sekolah-sekolah ini (SJKT) akan ditutup dan sebagainya.
“Namun, kita memberi jaminan tiada SJKT yang akan ditutup, malah kita akan berikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan, dan program yang terkait dengan pengukuhan guru serta pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Pembinaan SJKT Sungai Bakap, di sini hari ini.
Mengulas mengenai projek berkenaan, Fadhlina berkata, pembinaan bangunan baharu SJKT Sungai Bakap amat signifikan buat komuniti setempat demi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif untuk anak-anak.
Katanya, projek bernilai RM12.6 juta itu akan dilaksanakan oleh Yayasan Didik Negara (YDN) dengan tempoh pembinaan disasarkan mengambil masa selama 56 minggu.
Beliau menambah, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu akan dipantau secara rapat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.
“Sekolah yang dibina ini adalah komprehensif dari segi keperluan anak-anak, dan pastinya ia memberikan satu tujuan yang penting untuk pendidikan, bukan sahaja di peringkat menengah tetapi juga untuk negara,” katanya yang turut menghargai sumbangan komuniti, ibu bapa, guru, dan pemimpin masyarakat dalam merealisasikan projek berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, berkata pembinaan semula SJKT Sungai Bakap amat dinantikan memandangkan premis sedia ada yang menempatkan kira-kira 150 murid kini berada dalam keadaan usang.
Beliau berkata, projek berkenaan sebelum ini terhenti dan tertangguh selama lebih tujuh tahun akibat beberapa kekangan, termasuk isu status tanah, masalah kontraktor, serta kes mahkamah.
“Bagaimanapun, semua isu terbabit telah berjaya diselesaikan. Pembangunan sekolah ini disasarkan siap dalam tempoh 56 minggu dengan kerja-kerja asas yang memakan masa kini sudah dimulakan sebelum beralih ke struktur utama,” katanya.
IMedikel TV






