BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) tidak akan menyertai kerajaan bersama United Thai Nation atau Palang Pracharath kerana mendakwa pemimpin kedua-dua parti itu mengetuai rampasan kuasa.
MFP mencapai kata putus selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen mereka berhubung situasi politik semasa dan kedudukan parti itu untuk menyertai kerajaan.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, parti berkenaan mendakwa bekas anggota utama United Thai Nation, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan ketua Palang Pracharath, Jen Prawit Wongsuwan, mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan mahu kekal berkuasa untuk meluluskan Perlembagaan 2017.
Prayut baru-baru ini mengumumkan beliau akan berhenti daripada politik dan meletak jawatan daripada parti United Thai Nation.
Keputusan pilihan raya umum Mei lalu, menyaksikan MFP memenangi lebih banyak kerusi dewan, berbanding parti lain diikuti Pheu Thai, yang jelas menunjukkan hasrat rakyat yang mahukan perubahan.
Gabungan lapan parti dibentuk selepas pilihan raya, mempunyai 312 kerusi Dewan dan memperoleh 27 juta undi.
MFP bagaimanapun, menarik diri daripada membentuk kerajaan selepas pemimpinnya Pita Limjaroenrat, yang juga calon Perdana Menteri, tidak mendapat undi Parlimen yang mencukupi.
Ia kemudian menyerahkan tugas membentuk kerajaan kepada Pheu Thai.
Pada hujung minggu lalu, Pheu Thai menjemput pelbagai pihak dari luar gabungan itu untuk mengadakan pertemuan.
Dua daripadanya ialah United Thai Nation dan Palang Pracharath.
Pemimpin Pheu Thai, Cholnanan Srikaew menegaskan bahawa partinya tidak menjemput kedua-duanya untuk menyertai kerajaan, sebaliknya beliau hanya mahu meminta sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri Pheu Thai. – AGENSI, BH Online –
Imedikel TV






