Home Luar Negara THAILAND GALAK PEMBANGUNAN KASINO TAPI KEKANG WARGA TEMPATAN BERJUDI

THAILAND GALAK PEMBANGUNAN KASINO TAPI KEKANG WARGA TEMPATAN BERJUDI

178
0

BANGKOK: Thailand syorkan syarat ketat bagi rakyat tempatan yang mahu memasuki kasino, dalam usaha menggalakkan sektor perjudian tetapi pada masa sama, mengelakkan rakyatnya daripada terjebak dalam kancah perjudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan membangunkan industri perjudian utama untuk merangsang sektor pelancongan, menurut deraf peraturan baharu dikeluarkan pada Isnin, yang dikatakan berpotensi menjejaskan minat pelabur.

Menurut deraf yang dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Negara, badan penasihat kerajaan dalam isu undang-undang, dasar dan pelantikan, rakyat Thailand mesti mempunyai sekurang-kurangnya 50 juta baht (RM7.2 juta) deposit tetap sekurang-kurangnya enam bulan, sebelum dibenarkan masuk ke kasino.

Keperluan itu, yang turut merangkumi yuran masuk tidak melebihi 5,000 baht (RM66), dijangka menghalang akses sebahagian besar penduduk memasuki kasino.

Data kerajaan menunjukkan KDNK per kapita Thailand ialah sekitar AS$7,300 (RM35,000). Walaupun kebanyakan bentuk perjudian adalah haram di negara itu, aktiviti pertaruhan haram tetap berleluasa.

Penganalisis berkata, pemain tempatan dianggap sebagai tarikan utama bagi pelabur asing yang sedang meneliti butiran deraf undang-undang itu.

Laporan Citi tahun lalu menganggarkan kira-kira separuh penduduk Thailand berusia 20 tahun ke atas berpotensi menjadi pemain kasino, menjadikan negara itu sebagai destinasi perjudian ketiga terbesar di dunia.

Pakar industri, Daniel Cheng, berpandangan yuran masuk setinggi 5,000 baht (RM66) akan hadkan akses kepada golongan kelas menengah atasan dan ke atas.

“Syarat tambahan deposit bank 50 juta baht (RM7.2 juta) akan menjadikan kasino Thailand sama seperti daripada sistem yang hanya membenarkan pelancong asing seperti di Korea Selatan,” katanya.

Deraf undang-undang itu akan melalui sesi pendengaran awam baharu antara 15 Februari hingga 1 Mac sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

Ketika ini, Thailand hanya membenarkan perjudian dalam perlumbaan kuda yang dikawal selia kerajaan, loteri serta pertaruhan sukan tertentu seperti tinju.

Beberapa negara Asia Tenggara telah menghalalkan kasino, namun hanya segelintir, seperti Singapura, berjaya menarik pelabur antarabangsa termasuk gergasi industri seperti Las Vegas Sands Corp, berikutan kawal selia yang ketat.

Kerajaan Thailand, yang dipimpin parti populis Pheu Thai, menyasarkan pelaburan baharu sekurang-kurangnya 100 bilion baht (RM14.4 bilion), peningkatan pelancong asing antara lima hingga 10 peratus setahun serta pendapatan tahunan melebihi 12 bilion baht (RM1.7 bilion).

Deraf itu juga menyatakan bahawa ruang kasino hanya boleh mengambil ruang maksimum 10 peratus daripada keseluruhan kompleks.

Sektor pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu. Tahun ini, kerajaan menjangkakan kehadiran 38 juta pelancong asing, menghampiri rekod pra-pandemik hampir 40 juta pelancong.

Namun, tinjauan pendapat bulan lalu mendapati kebanyakan rakyat Thailand menolak rancangan kasino itu, manakala beberapa parti politik berpendapat industri perjudian boleh memburukkan masalah sosial. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here