MELAKA: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas merempuh kedai serbaneka di stesen minyak Jalan Bukit Rambai, di sini, semalam.
Difahamkan kejadian kira-kira jam 7 malam itu berlaku selepas warga emas berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak bersama dua cucunya berusia masing-masing berusia 12 dan 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata lelaki terbabit dikatakan tertekan pedal minyak ketika memasuki gear D, menyebabkan kereta Hyundai Sonata dipandunya terbabas merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.
“Sebanyak lima keping panel glass pecah akibat rempuhan itu. Ketika kejadian tiada pelanggan dalam kedai dan hanya pemandu cedera ringan di kaki, manakala dua cucunya terselamat.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Christopher berkata, terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun tiada saksi bebas yang tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” katanya.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






