MANCHESTER: Erik ten Hag percaya kemenangan 4-3 ke atas Liverpool pada aksi suku akhir Piala FA mampu menjadi batu loncatan untuk Manchester United mengakhiri musim sukar ini dengan kejayaan.
Peluang terakhir United menjulang piala musim ini hampir musnah di Old Trafford apabila dua kali mereka terpaksa bangkit menyamakan kedudukan sebelum menutup harapan Liverpool memenangi empat kejuaraan musim ini.
Jaringan Amad Diallo dalam masa tambahan memberikan kemenangan buat anak buah Ten Hag ke atas skuad kendalian Jurgen Klopp.
United kini menjadi pasukan pilihan untuk mara ke final Piala FA buat musim kedua berturut-turut selepas lawannya pada separuh akhir ialah kelab Liga Kejuaraan, Coventry.
Tekanan ke atas Ten Hag semakin memuncak apabila United menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, dan tersingkir awal daripada Liga Juara-Juara Eropah serta Piala Liga.
Bagaimanapun bekas pengendali Ajax itu percaya skuadnya kini semakin meningkat selepas hanya tewas dua kali dalam 12 penampilan pada tahun 2024.
“Ini adalah masanya, pasukan yang mempunyai keyakinan dan tenaga untuk melakukan perkara menakjubkan. Apabila anda menewaskan Liverpool, anda mampu menewaskan sesiapa sahaja,” kata Ten Hag.
Pemain-pemain muda United menjadi penyelamat apabila Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo beraksi cemerlang sebelum Diallo masuk dan menjaringkan gol keduanya untuk kelab.
United mendahului permainan menerusi Scott McTominay yang meledak gol kesembilannya musim ini selepas percubaan Garnacho dinafikan Caoimhin Kelleher.
Ia adalah kekalahan kelima Liverpool dalam semua pertandingan musim ini, dua daripadanya ketika peringkat kumpulan Liga Europa – dengan The Reds beraksi bukan dengan skuad terkuatnya.
Klopp mengakui anak buahnya mula menunjukkan tanda-tanda keletihan susulan jadual padat, tetapi mereka tidak menyerah kalah tanpa melawan.
Dua gol dalam tempoh tiga minit di akhir babak pertama memberikan kelebihan buat pelawat apabila Alexis Mac Allister menewaskan Andre Onana dan Mohamed Salah menjaringkan gol ke-13 dalam 14 perlawanan menentang United.
United kembali bangkit apabila Antony dimasukkan dan menjaringkan gol pertamanya di Old Trafford selepas setahun – tiga minit sebelum tamat permainan.
Jaringan Harvey Elliott kembali meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-105, tetapi Marcus Rashford menjadikan kedudukan 3-3.
Serangan balas pantas menerusi Garnacho membuka ruang buat Diallo untuk menjaringkan gol pertamanya selepas tiga tahun di Old Trafford.
Diallo bagaimanapun dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua kerana membuka bajunya ketika meraikan jaringan. – AFP,BH Online-
Imedikel TV






