Home Buletin Semasa TEMPOH PEMBERIAN REBAT BAGI SISTEM SOLAR DILANJUTKAN HINGGA APRIL 2025

TEMPOH PEMBERIAN REBAT BAGI SISTEM SOLAR DILANJUTKAN HINGGA APRIL 2025

414
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melanjutkan tempoh pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga jumlah RM4,000 kepada pengguna domestik di bawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) sehingga 30 April 2025.

Menurut kenyataan media semalam, PETRA menyeru orang ramai untuk mendapatkan perincian SolaRIS di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di www.tnb.com.my namun ia tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, garis panduan pelaksanaan program di bawah Program Net Energy Metering (NEM) itu telah ditambah baik bagi mengurangkan jejak karbon oleh pengguna NEM.

PETRA bersetuju program NEM dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian selain membenarkan pengguna sedia ada beralih kepada program sama bagi menyokong inisiatif untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Berikutan itu, kuota bagi kategori NEM Rakyat bakal ditingkatkan daripada 150MW kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat manfaat ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar tersebut.

Selain itu, kuota bagi kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga ditambah daripada 300MW kepada 1,700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat bagi memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.

Permohonan bagi pengguna elektrik yang berminat terhadap Program NEM terbuka sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu.

PETRA sentiasa komited memastikan pemasangan sistem solar di bumbung bangunan secara menyeluruh selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here