Home Buletin Semasa TEKONG DARAT TUMPAS, JIM TAHAN LELAKI TEMPATAN DAN EMPAT MIGRAN INDIA

TEKONG DARAT TUMPAS, JIM TAHAN LELAKI TEMPATAN DAN EMPAT MIGRAN INDIA

10
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kegiatan menyeludup masuk migran ke negara ini menggunakan khidmat ‘tekong darat’ terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter bersama empat migran warga India dalam operasi khas di sekitar Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.

Menerusi kenyataan di laman rasmi operasi bermula jam 5.30 petang pada Selasa lalu itu dijalankan sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan.

“Dalam operasi itu, JIM menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ atau tekong darat, selain empat lelaki warga India berusia antara 18 hingga 48 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati seorang daripada migran yang ditahan sebelum ini telah disenarai hitam oleh JIM, namun dipercayai memasuki semula negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan,”menurut kenyataan itu.

Manakala tiga lagi warga India yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Turut disita dalam operasi itu ialah dua unit telefon bimbit, empat naskhah pasport India serta sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan,”jelas kenyataan itu.

Menurut JIM, sindiket menggunakan modus operandi membawa masuk warga asing, terutama dari India, melalui laluan tidak diwartakan sebelum mereka diambil oleh transporter di hentian bas untuk dihantar ke lokasi yang ditetapkan.

“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran sekitar RM6,000 bagi setiap migran, dan kegiatan itu dipercayai aktif sejak tahun lalu.

“Lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.,”jelas kenyataan itu.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut.

JIM menegaskan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here