Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tawa riang seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dahulunya memenuhi segenap ruang rumah, kini berganti sunyi apabila tubuh kecil itu hanya mampu terbaring lesu selepas disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal.
Nur Elyana Humairah Mohd Khairul Nizam, anak sulung daripada empat beradik, mula menunjukkan simptom seperti sakit kepala, berjalan tidak stabil dan lemah sejak Ogos lalu.
Ibu kanak-kanak itu, Nik Nur Atiqah Rusdi, 34, berkata hasil imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mendapati terdapat ketumbuhan sebesar tiga sentimeter di pangkal otaknya.
Katanya, pada awalnya dia menyangka perubahan anaknya hanya kerana ingin perhatian, memandangkan ketika itu tumpuannya lebih banyak diberikan kepada anak bongsu berusia tujuh bulan yang mengalami masalah sumbing bibir dan lelangit.
“Dia ada mengadu sakit kepala, mata nampak kuyu dan jalan terhuyung-hayang, saya bagi Panadol dan bawa ke klinik kesihatan sebelum doktor di Hospital Kota Bharu buat CT scan dan sahkan ada kanser pangkal otak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Binjai, di sini, hari ini.
Menurut Nik Nur Atiqah, selepas dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), anaknya sudah tiga kali ditahan wad dan kini menjalani rawatan radioterapi sebanyak 30 kali bagi melambatkan pertumbuhan ketumbuhan tersebut.

“Doktor kata tiada ubat untuk penyakit ini, kemoterapi pun tak boleh buat, cuma rawatan ini untuk melambatkan prosesnya, tapi saya tetap percaya akan ada keajaiban untuk anak saya,” ujarnya.
Kini, Nur Elyana hanya mampu terlantar, bergantung kepada tiub khas untuk minum susu dan makan ubat, selain sukar bercakap dan mengalami gangguan sistem pencernaan.
Dalam masa sama, Nik Nur Atiqah turut berdepan ujian apabila anak bongsunya, Nur Eleena Huwaina, akan menjalani pembedahan bagi masalah sumbing pada November ini.
Dia yang kini menjadi suri rumah selepas berhenti kerja di sebuah restoran makanan segera, bergantung kepada pendapatan suaminya, Mohd Khairul Nizam Razali, 32, yang bekerja sebagai kelindan lori dengan gaji sekitar RM1,700 sebulan.
Mereka sekeluarga tinggal bersama ibunya yang sudah tidak bekerja.
“Saya cuma berharap ada keajaiban bagi anak-anak saya, untuk anak bongsu, insyaAllah boleh dirawat, tapi untuk anak sulung, saya hanya mampu berdoa agar dia sembuh,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03018021725015 atas nama Nik Nur Atiqah Rusdi.
IMedikel TV





