Home Buletin Semasa KERAJAAN SALUR BANTUAN WANG IHSAN TIGA BULAN SEKALI KEPADA MANGSA BENCANA TERMASUK...

KERAJAAN SALUR BANTUAN WANG IHSAN TIGA BULAN SEKALI KEPADA MANGSA BENCANA TERMASUK MTL

483
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Kerajaan menambahbaik Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana dengan penyaluran kewangan dibuat setiap tiga bulan sekali, bukan lagi terhad kepada tempoh Monsun Timur Laut (MTL) seperti sebelum ini.

Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial (SKPS) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jefny Muhammad berkata, langkah itu membolehkan mangsa bencana menerima bantuan lebih cepat tanpa perlu menunggu musim tertentu.

“Contohnya, kalau berlaku bencana pada November dan mereka terima BWI, kemudian kalau pada Mac tahun berikutnya berlaku lagi bencana, mereka juga layak menerima bantuan baharu.

“Dalam MyIBJKM ini, syaratnya ialah mereka yang benar-benar terkesan dengan bencana. Jika rumah mereka mengalami kerosakan akibat musibah, mereka layak menerima bantuan RM1,000,” katanya kepada pemberita selepas meramsikan Majlis Penutup Program Kesiapsiagaan Bencana Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Tasek Gondang, Rantau Panjang, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, pembayaran bantuan itu akan dibuat secara automatik setiap tiga bulan dan disalurkan terus ke akaun mangsa melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) atau bank berdaftar, sekiranya bencana berlaku selepas tempoh tiga bulan daripada bantuan terdahulu.

Tambahnya, BWI tidak hanya terhad kepada bencana banjir, tetapi turut meliputi bencana lain seperti ribut, tanah runtuh dan sebagainya.

Bagaimanapun, Jefny menjelaskan, BWI hanya layak kepada mangsa yang terjejas secara langsung, manakala mereka yang sekadar terkepung banjir hanya layak menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, katanya Nadma bersama agensi keselamatan lain kini dalam keadaan siapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana susulan amaran cuaca yang dikeluarkan.

“Ramalan cuaca awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa MTL bermula pada 6 November lalu, serta pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Thailand sudah mengeluarkan amaran awal kelmarin, dan kita sudah bersedia, peruntukan bagi bantuan bencana sudah disalurkan kepada semua negeri dan agensi pelaksana peringkat negeri,” katanya.

Tambah beliau, lebih 62,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kelantan berdaftar dengan sistem MyIBJKM setakat 31 Oktober.

Beliau turut menggesa individu yang terjejas bencana segera mendaftar bagi melayakkan mereka menerima bantuan sewajarnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here