BEIJING: Penari jalanan dari China, Wu Yufei menghabiskan sebahagian besar kerjayanya selama 13 tahun dengan membuat persembahan secara solo, namun tahun ini beliau menemui rakan kerjasama baharu iaitu robot yang mempunyai gerakan kemas dan lancar.
Memetik laporan AFP menrusi Harian Metro, anak jati Sichuan berusia 27 tahun itu bersama rakan robotnya berjaya melangkah ke peringkat akhir rancangan America’s Got Talent (AGT), satu pentas yang sekian lama diidamkannya.
Sebagai peminat tegar fiksyen sains, Wu memberitahu AFP dari Pasadena, California, bahawa pengalaman menari bersama robot dalam kumpulan ‘Homies’ memberikan satu “perasaan yang amat menakjubkan”.
“Selepas berbulan menjalani latihan bersama mereka, robot-robot penari ini dirasakan lebih daripada sekadar mesin yang kaku dan tidak bernyawa.
“Ia seolah-olah wujud semangat berpasukan di situ,” kata Wu kepada AFP ketika beliau dan kumpulan penari robot humanoid yang dihasilkan oleh syarikat robotik China, Unitree bersiap sedia untuk peringkat akhir AGT minggu ini.
Menurut pihak industri, proses melatih robot untuk menari membabitkan rakaman gerakan manusia yang rumit, perlu menjalani simulasi komputer dan kemudian memindahkan hasil simulasi tersebut kepada robot-robot berkenaan.
Bagi Fang Zhenghua, pengarah seni di sebalik persembahan Wu dan Unitree di AGT, melatih robot untuk menari ibarat ‘mencipta satu jiwa’.
“Pada mulanya saya agak menentang impak kecerdasan buatan (AI) terhadap persembahan tarian atau kesan robot terhadap tarian,” katanya kepada AFP di Shanghai.
Bagaimanapun, pengalaman bekerjasama dengan jurutera berkemahiran tinggi yang disifatkannya sebagai ‘ibu’ kepada robot tersebut mengubah keseluruhan pandangannya.
Ketua pengkomersialan di firma penangkapan gerak robotik BridgeDP, Liu Zhiquan berkata, melatih robot memerlukan input daripada penari manusia dan sangat bergantung kepada jurutera dalam menyelesaikan masalah, terutama ketika persembahan langsung.
“Ia memerlukan banyak pelarasan halus. Jika penari tidak mahir teknologi, banyak rakaman semula akan diperlukan,” katanya.
Tambahnya, sesuatu rutin tarian selama 30 saat mungkin mengambil masa berhari-hari, malah berminggu-minggu untuk disempurnakan dan penari perlu sedia bertolak ansur.
Wegers Wei dari studio tarian Limit Crew yang berpangkalan di Shanghai pula berkata, beliau akan mengelak pergerakan yang diketahui sukar untuk dilakukan ketika mereka bentuk rutin untuk robot.
“Jika kami mendapati sesetengah rutin tidak kelihatan menarik untuk robot atau jika ia kelihatan seolah-olah robot melakukan kesilapan, kami akan mengubahnya,” kata Wei yang robotnya memenangi tempat pertama dan kedua bagi kategori tarian jalanan di World Humanoid Robot Games, tahun ini.
Menurutnya lagi, robot sangat cekap melakukan pergerakan berputar atau apa yang dipanggil oleh penari jalanan sebagai ‘power moves’ memandangkan ia hanya melibatkan pelarasan kuasa motor dan daya kilas (torque) pada bahagian lengan.
“Bagaimanapun, rutin yang memerlukan kelenturan tubuh amat sukar dilakukan oleh robot,” katanya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






