Home Buletin Semasa TANGKI TAMBAHAN ‘BERISI’ PETROL SUBSIDI, LELAKI DITAHAN KPDN

TANGKI TAMBAHAN ‘BERISI’ PETROL SUBSIDI, LELAKI DITAHAN KPDN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki tempatan yang dipercayai melakukan pembelian petrol secara berulang di beberapa stesen minyak membawa kepada penahanannya dalam  Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, Khamis lalu.

Suspek ditahan kira-kira jam 10.05 malam di Kampung Jelulok, Pengkalan Kubor, selepas pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan pergerakannya dalam kegiatan berkenaan.

Menurut kenyataan di laman rasmi, hasil intipan mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah Proton Iswara Aeroback yang telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan bagi menyimpan petrol yang dibeli secara berulang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan kira-kira 100 liter petrol dipercayai bersubsidi yang telah disedut keluar dan disimpan dalam tangki tambahan berkenaan.

“Rampasan petrol itu dianggarkan bernilai RM382, manakala kenderaan terbabit bernilai kira-kira RM5,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM5,382,” menurut KPDN.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here