Mantap, memukau dan menghiburkan.
Ini perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keseronokan menonton Konsert Slam X Exists – Our Journey yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Tidak keterlaluan juga dikatakan aura konsert ini amat luar biasa apabila berjaya menarik kehadiran 5,000 peminat pelbagai golongan untuk hadir menonton.
Kehadiran mereka ini sebenarnya menjadi pembakar untuk kedua-dua kumpulan yang mencipta populariti pada awal dan pertengahan 1990-an ini menampilkan persembahan terbaik mereka.
Baik Slam mahupun Exists, sangat beruntung kerana peminat yang hadir adalah golongan yang ‘hidup’ dengan muzik dan melodi yang pernah membuai jiwa remaja mereka.
Mereka hadir dengan satu harapan iaitu mahu mengembalikan momen indah zaman remaja yang tidak akan kembali lagi.
Namun, ia boleh dikenang menerusi lagu nostalgia yang ditampilkan seakan-akan satu mesin masa membawa semua penonton kembali ke era 90-an yang penuh makna.
Mega Star Arena mula gempak dan gegak gempita apabila kedua-dua kumpulan bergabung membuka pentas menerusi lagu Jesnita nyanyian Exists dan Kembali Merindu (Slam).
Penampilan awal ini sudah cukup membuatkan peminat turut sama menyanyi mengiringi persembahan Zamani dan Ezad.
Slam kemudian meninggalkan pentas bagi memberi ruang kepada Exists meneruskan persembahan solo.
Exists tidak menunggu lama apabila tampil bertenaga menerusi rangkaian lagu popular dan malar segar mereka iaitu Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Anugerah II dan Masih Terserlah Ayumu.
Tidak ketinggalan lagu Kapal Terbang Kertas, Bunga, Julia, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan Mengintai Dari Tirai Kamar.
Ada lagu rancak dan ada lagu balada dan ia menyaksikan kemampuan vokal Ezad benar-benar teruji.
Tiga lagu terakhir nyanyian Ezad sememangnya dinanti-nantikan peminat. Emosi mereka terbuai menikmati lagu penuh nostalgia ini.
Giliran Slam pula menyaksikan peminat disajikan dengan lagu genre rancak dan balada yang memikat jiwa.
Zamani menyanyikan lagu Nurkasih, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan dan Manisnya Rindu.
Lagu lain ialah Untukmu Ibu, Biarkan Ia Pergi, medley Bukan Niat Membalas Derita / Buat Seseorang Kekasih / Maria Mariana, Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi.
Untuk penutup, Zamani dan Ezad bergabung semula menerusi lagu Kembali Terjalin dan Alasanmu 2025.
Konsert Slam X Exists-Our Journey menampilkan segala-galanya. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu terapi jiwa kepada peminat untuk mengenang satu kenangan yang tidak mungkin kembali lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






