LIVERPOOL: Liverpool bakal memasukkan satu atau dua pemain mereka dalam tawaran terkini bagi mendapatkan penyerang Newcastle United, Alexander Isak, bagi mengurangkan harga permintaan yang mencecah 150 juta euro (RM780 juta).
Menurut wartawan Sebastian Vidal, empat pemain dari skuad utama disenaraikan sebagai pilihan untuk dipertimbangkan dalam rundingan – Darwin Nunez, Harvey Elliott, Federico Chiesa dan Tyler Morton.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Liverpool sebelum ini sudah bersetuju dengan syarat-syarat peribadi Isak, namun bidaan rasmi mereka ditolak oleh Newcastle, yang ketika ini masih enggan melepaskan penyerang kebangsaan Sweden itu.
Difahamkan, nilai tawaran Liverpool jauh lebih rendah berbanding rekod British yang dikatakan sanggup mereka bayar sebelum ini.
Liverpool hanya akan mengemukakan bidaan kedua sekiranya Newcastle memberi lampu hijau secara rasmi untuk menjual Isak.
Daripada empat pemain terbabit, hanya Elliott dan Nunez dilihat sebagai pilihan realistik untuk menarik minat Newcastle.
Chiesa dan Morton kurang relevan buat Magpies ketika ini, apatah lagi Morton hampir pasti berhijrah ke Lyon dan kelab itu juga tidak mencari pemain sayap baharu.
Newcastle sebelum ini memang berminat terhadap Elliott, dan Liverpool juga sedia menjual pemain tengah itu. Namun, Liverpool menilai Elliott pada harga yang tinggi, dan masih belum jelas berapa banyak pengurangan yang mereka mahukan dalam urusan pertukaran pemain itu dengan Isak.
Bagi Nunez pula, Liverpool juga bersedia menjualnya, namun masih samar-samar sama ada Newcastle berminat atau tidak. Ini kerana sasaran utama Magpies untuk menggantikan Isak adalah Benjamin Sesko dari RB Leipzig.
Justeru, hanya Elliott dilihat sebagai aset yang paling munasabah untuk dimasukkan dalam rundingan mendapatkan Isak. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






