Home Segmen Kesihatan TABIAT GOSOK MATA BERI KESAN BURUK

TABIAT GOSOK MATA BERI KESAN BURUK

146
0

Tabiat menggosok mata yang sering dilakukan ketika gatal, letih atau berasa tidak selesa sebenarnya boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan jika dilakukan secara berlebihan.

Tindakan itu berlaku tanpa disedari dan boleh menyebabkan iritasi, mengundang jangkitan serta memberi tekanan kepada struktur kornea.

Ada yang menganggap menggosok mata dapat memberi kelegaan kepada mereka, namun tabiat itu perlu dihentikan segera.

Apabila tekanan dari luar mata terjadi secara berulang, lapisan kornea yang bersifat lembut boleh berubah bentuk dan mengalami penipisan tisu.

Memetik laporan menerusi Berita Harian, kornea komponen penting yang menentukan kejelasan penglihatan melalui bentuk melengkungnya yang sempurna.

Justeru, sebarang perubahan walaupun kecil pada bentuknya boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur atau berbayang.

Lebih membimbangkan, gosokan kuat mampu menyebabkan pendarahan kecil pada bahagian putih mata ekoran salur darah halus yang pecah, lantas mengakibatkan mata kelihatan merah menyala dalam tempoh beberapa hari.

Selain itu, tindakan seseorang menggosok mata menggunakan tangan yang tidak bersih juga boleh mendatangkan risiko kuman memasuki mata.

Ia boleh menyebabkan mata merah, pedih dan berair.

Selain itu, tabiat menggosok mata turut dikaitkan dengan masalah penglihatan seperti silau, rabun bertambah teruk serta ketidakselesaan berpanjangan, terutama bagi individu yang mempunyai alahan atau mata kering.

Orang ramai disarankan menggantikan perbuatan menggosok mata dengan langkah lebih selamat seperti menggunakan titisan mata, memampat mata dengan tuala sejuk atau berehat seketika bagi melegakan ketegangan.

Kesedaran mengenai bahaya menggosok mata perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kerosakan mata dalam jangka panjang yang boleh menjejaskan kualiti penglihatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here