Home Buletin Semasa PROJEK RINTIS: SEMBILAN ANGGOTA TENTERA DILATIH BAWA KERETA API ECRL DI CHINA

PROJEK RINTIS: SEMBILAN ANGGOTA TENTERA DILATIH BAWA KERETA API ECRL DI CHINA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sembilan anggota tentera dihantar bagi menjalani kursus insentif kendalian kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selama setahun di Liuzhuo, China.

Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Datuk Amir Md Noor, berkata mereka yang cemerlang berpotensi untuk diserap masuk bekerja di projek mega tersebut yang dijangka bermula Januari 2027.

“Sembilan anggota tersebut yang dihantar ke China adalah kumpulan pertama sebagai projek rintis.

“Mereka akan berlatih membawa kereta api dan bagi yang berjaya dan cemerlang mereka akan diserap jadi tenaga pekerja di ECRL,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pahlawan di sini, hari ini sempena penyerahan sumbangan Sekolah Angkat MADANI 2025.

Katanya latihan itu adalah kerjasama antara Malaysia Rail Link (MRL), Yayasan Pahang, UCYP University, Akademi Rel Pahang dan China Communications Construction Company (Malaysia) Sdn Bhd (CCCC).

“Sembilan pelatih tersebut dibiayai oleh Yayasan Pahang. Setiap seorang hampir RM35,000,”katanya.

Beliau berkata kumpulan projek rintis tersebut yang menjalani latihan selama setahun di Kolej Vokasional Keretapi Liuzhou berlepas ke China pada September lalu.

Jelas beliau sekiranya projek rintis itu gagal ia sekali gus menjejaskan peluang terhadap orang lain.

“Ini adalah kumpulan pertama dan jika mereka berjaya, ia akan membuka peluang kepada anggota tentera.

“Sebab itu kita pilih syarikat yang memilih mereka dan kami jangka mereka akan menjadi contoh dan model terbaik kepada anggota yang lain,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata setiap tahun, PERHEBAT melatih hampir 6,000 orang menerusi 18 pusat latihan di seluruh negara dengan empat pengambilan setahun.

“Setakat ini terdapat enam jenis latihan yang PERHEBAT laksanakan. PERHEBAT beroperasi di bawah Perintah Majlis Angkatan Tentera.

“Jadi kami diberi mandat atau tanggungjawab bukan untuk jana pendapatan tetapi untuk melatih modal insan daripada tentera,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here