Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Seorang penoreh getah berusia 54 tahun yang terbabit dengan kes tetak sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Aiman Azahan bagi membantu siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Terdahulu, suspek berpakaian lokap warna ungu itu tiba di pekarangan Mahkamah Pasir Puteh pada jam 9.20 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Zakaria ketika dihubungi berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, mangsa berusia 44 tahun cedera parah di tangan sebelah dan kepala sebelah kanan selepas dipercayai ditetak dengan sebilah parang oleh suspek terbabit.
Beliau berkata, suspek merupakan adik beradik angkat ibu mangsa dan tinggal berhampiran dengan rumah mangsa.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.
IMedikel TV






