Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 443 ekor ayam serama mengambil bahagian dalam Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama yang diadakan di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Taman Tanjung Chat, di sini, baru-baru ini.
Penyelaras pertandingan, Adnan Salleh, berkata program itu anjuran Kelab Pengadil Ayam Serama Negeri Kelantan (PERKASA) dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.

“Pertandingan ini berkonsepkan kebudayaan dan ukhuwah, yang menjadikan kesenian ayam serama sebagai sebahagian daripada budaya rakyat, sekaligus memartabatkan ayam serama di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pertandingan, Aziz Abdullah, dan Pengarah Urusan NASROM Travel and Tours, Datuk Mohd Khairey Saudi.
Beliau berkata, sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu anak jantan, serama anak ke remaja, serama muda, serama tanpa lawi, serama betina (remaja, muda dan induk), serta kategori raja kebas.
Menurutnya, penyertaan kali ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam, dengan penilaian dibuat berdasarkan gaya, bentuk tubuh, sayap, kaki dan beberapa ciri lain pada ayam yang dipertandingkan.
“Yuran penyertaan bagi pertandingan ini serendah RM20 sahaja.
“Bagi kategori tempat pertama menerima RM200, kedua RM150, ketiga RM100, manakala setiap penyertaan menerima saguhati RM35. Pemenang juga menerima piala,” katanya.
IMedikel TV






