Home Buletin Semasa SUMBANGAN RAKYAT RM1.04 JUTA, DUA KANAK-KANAK SMA TERIMA RAWATAN TERAPI GEN

SUMBANGAN RAKYAT RM1.04 JUTA, DUA KANAK-KANAK SMA TERIMA RAWATAN TERAPI GEN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Keprihatinan dan kemurahan hati rakyat Malaysia memberi sinar baharu kepada dua kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2, selepas berjaya menjalani rawatan terapi gen di Jakarta, Indonesia.

Muhammad Iman Hafiz Muhammad Syafiq, 5, dan Muhammad Hadeef Fayyad Mohd Farhan, 2, menerima rawatan berkenaan hasil kutipan dana berjumlah RM1.04 juta yang digerakkan pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau, berkata kedua-dua kanak-kanak terbabit berlepas ke Indonesia pada 23 Ogos lalu sebelum menjalani rawatan pada keesokan harinya.

Menurutnya, kedua-duanya dibenarkan pulang pada 27 Ogos selepas dipantau rapi oleh pihak hospital.

“Kos terapi gen yang terlalu tinggi menyebabkan kedua-dua keluarga ini pada awalnya tidak mampu menanggung sendiri kos rawatan.

“Namun, hasil sokongan tiada henti daripada masyarakat, sumbangan berjaya dikumpulkan demi masa depan mereka.

“Sumbangan ini adalah simbol harapan dan perjuangan bersama masyarakat untuk melihat kedua-dua kanak-kanak ini terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Sui Hau menjelaskan, prosedur berkenaan bukanlah titik akhir, sebaliknya permulaan kepada fasa pemulihan yang mencabar.

Katanya, kedua-dua pesakit perlu menjalani fisioterapi intensif bagi menguatkan otot kaki.

“Harapan terbesar ibu bapa mereka bukanlah untuk melihat anak terus berlari, tetapi melalui proses pemulihan yang berterusan agar suatu hari nanti mereka mampu belajar berdiri, mengekalkan keseimbangan badan dan berani mengorak langkah pertama dalam kehidupan.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dan mereka yang mengambil berat tentang mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan kedua-dua kanak-kanak lelaki yang bergelut menghidap SMA itu mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantu mengumpul dana keseluruhan RM1.04 juta bagi membolehkan mereka menjalani rawatan gen.

SMA ialah penyakit genetik jarang berlaku yang menyerang sel saraf tunjang, menyebabkan otot badan semakin lemah dan menyusut sehingga menjejaskan keupayaan kedua-dua kanak-kanak berkenaan untuk bergerak secara normal.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here