Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Budaya membaca perlu dijadikan gaya hidup dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda bagi membentuk pemikiran matang, berilmu dan berupaya menilai kesahihan maklumat dalam era digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat ketika membaca teks ucapan mewakili Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, membaca bukan sekadar proses memahami perkataan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membina pemikiran, membuka minda, meluaskan pandangan serta mengasah kebijaksanaan.

“Kepentingan membaca berteraskan perintah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, sekali gus memperlihatkan kedudukan ilmu sebagai asas pembinaan insan, kemajuan masyarakat dan tamadun.
“Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu yang kita dapat akan menjaga kita, manakala jika harta yang kita dapat, kita pula yang perlu menjaganya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2026, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Diana Melati Mohamed.
Beliau berkata, perkembangan teknologi yang menjadikan maklumat mudah diperoleh tidak bermakna seseorang itu secara automatik menjadi berilmu.
Sebaliknya, katanya, masyarakat perlu mempunyai keupayaan untuk menilai, memahami, menganalisis serta memilih maklumat yang benar dan bermanfaat.

“Dalam dunia hari ini, kita hidup dalam satu zaman yang menyaksikan maklumat berada di hujung jari. Namun, banyaknya maklumat tidak semestinya menjadikan seseorang itu berilmu.
“Sebab itu kita perlu mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, supaya bukan sahaja membaca tetapi juga mampu menilai, memahami, menganalisis dan memilih ilmu serta maklumat yang benar dan bermanfaat,” katanya.
Katanya Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha memperkukuh pendidikan, pembangunan ilmu dan pembentukan masyarakat berpengetahuan selaras dengan aspirasi Membangun Bersama Islam.
Beliau berkata pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pembentukan masyarakat yang mempunyai ilmu, akhlak, pemikiran matang dan jati diri kukuh.
Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai budaya membaca dengan menjadikan buku sebagai sebahagian daripada kehidupan keluarga.
“Pendedahan kepada buku sejak usia kanak-kanak mampu membantu mereka membesar sebagai individu berpengetahuan, kreatif dan mempunyai pemikiran yang luas,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan Perpustakaan Awam Kelantan supaya terus berkembang sebagai pusat ilmu, pusat komuniti dan ruang pembelajaran sepanjang hayat, bukan sekadar tempat menyimpan serta meminjam buku.
“Akses kepada ilmu dan bahan bacaan perlu diperluaskan kepada seluruh rakyat termasuk masyarakat di kawasan luar bandar.
“Dalam era digital, katanya, perkhidmatan perpustakaan juga perlu diperkasa menerusi penggunaan teknologi, koleksi digital, program interaktif serta pelbagai inovasi bagi menarik masyarakat mendekati ilmu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya kemajuan teknologi tidak menghakis budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Teknologi boleh menjadi alat untuk mendapatkan ilmu, tetapi buku tetap menjadi salah satu jendela terbaik untuk membentuk pemikiran manusia,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Pesta Buku Darul Naim 2026 turut menjadi platform penting dalam menyokong perkembangan ekosistem industri buku dan penerbitan negara.
Beliau merakamkan penghargaan kepada penulis, penerbit, penggiat buku serta seluruh pemain industri ilmu yang terus menghasilkan karya dan menyumbang kepada perkembangan budaya intelektual.
Beliau turut berharap lebih ramai penulis menghasilkan karya berkualiti, selain penerbit berani mengetengahkan karya dan ilmu tempatan.
Beliau berkata, warisan ilmu yang dimiliki Kelantan perlu terus dipelihara, dikembangkan dan diwariskan kepada generasi baharu.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru golongan muda menjadikan membaca sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan, di samping memanfaatkan ilmu dan teknologi secara bertanggungjawab.
“Budaya membaca yang menjadi amalan hidup mampu melahirkan generasi berkualiti, berilmu dan berbudaya serta berupaya memberikan sumbangan besar kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
IMedikel TV






