Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluang masa lebih 30 minit melawat Cameron Highlands Montane Park (CHiMP), di sini semalam.
Baginda berdua berpeluang melihat pelbagai spesies pokok yang terdapat di kawasan tanah tinggi sebelum ini, namun kini terdapat di CHiMP yang kini menjadi antara produk ekopelancongan terkenal di Cameron Highlands.
Sultan Abdullah bertitah, CHiMP perlu dinaik taraf sebagai produk pelancongan yang unik dan menarik dengan menempatkan lebih banyak pokok pelbagai spesies yang terdapat di negara ini.

“Lebih banyak pokok orkid pelbagai spesies perlu ditempatkan di sini pada masa akan datang bagi memberi peluang pelancong melihat lebih dekat tumbuhan berkenaan.
“Dapatkan nasihat dan cadangan daripada mereka yang memiliki kepakaran berkaitan tumbuhan tanah tinggi supaya CHiMP terus terkena suatu hari nanti,” titah baginda.
Sebelum itu Baginda diberi taklimat oleh Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkaitan CHiMP yang berada dibawah seliaan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands sepenuhnya.
Sebelum ini CHiMP dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan tujuan untuk membangunkan sebuah pusat konservatori pelbagai spesies flora hutan pergunungan.
Selepas tamat kerjasama pelaksanaan projek CHiMP, projek berkenaan diserahkan kembali kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada 2022.
Nasrul Akmal berkata, di CHiMP terdapat kira-kira 350 orkid pelbagai spesies. Terdapat juga spesies Rhododendron, Begonia, buluh dan halia.
“Program pendidikan berkaitan hutan pergunungan, biodiversiti dan pemuliharaan alam sesuai diadakan CHiMP, mereka dapat merasai suasana hutan tanah tinggi dengan pelbagai spesies tumbuhan unik.
“Terdapat lokasi aktiviti fotografi dengan suasana berkabus, kehijauan hutan dan tumbuhan unik yang begitu menarik,” katanya.
IMedikel TV






