Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa supaya satu inkues diadakan berhubung kematian seorang banduan di Penjara Sungai Buloh yang menjadi subjek kepada kes kesilapan identiti sehingga menyebabkan pertukaran mayat baru-baru ini.
Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata inkues itu bukan hanya perlu diadakan dengan kadar segera, malah turut dikendalikan secara telus dan adil.
Mengulas lanjut, katanya, siasatan berhubung inkues itu penting memandangkan ia boleh membantu dalam membentuk dasar serta dan langkah intervensi yang perlu dibangunkan atau ditambah baik.
Malah, beliau percaya ia juga dapat membantu dalam membina kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan jenayah.
Kesilapan identiti membabitkan banduan di Penjara Sungai Buloh yang meninggal dunia baru-baru ini menyebabkan sebuah keluarga hampir membakar mayat berkenaan, sebelum dihubungi pihak berkuasa penjara yang memaklumkan anak mereka masih hidup dan berada dalam tahanan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa lembaga siasatan bagi menyiasat isu kesilapan identiti itu, dengan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan akan menanggung sepenuhnya kos persemadian mayat lebih RM20,000 yang sudah dibelanjakan keluarga berkenaan.
Beliau mengakui wujud elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam insiden berkenaan, dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aspek kecuaian bagi memastikan ia tidak berulang.
Dalam pada itu, Sevan memuji tindakan Menteri Dalam Negeri yang dilihat bertanggungjawab dalam kes terbabit serta menawarkan untuk membayar balik perbelanjaan pengebumian yang terpaksa ditanggung keluarga.
“Keluarga di Negeri Sembilan itu dimaklumkan anak mereka meninggal dunia di penjara dan menyediakan segala keperluan pengebumian sebelum mengetahui perkara sebenar sebelum pembakaran mayat dilakukan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Sevan yang turut memuji pengakuan Saifuddin mengenai kecuaian pihak berkuasa penjara, menggesa KDN menyediakan kemas kini secara berkala mengenai penemuan jawatankuasa yang ditubuhkan susulan kes itu, khususnya berhubung sebarang kelemahan yang ditemui dalam proses pengenalan identiti di penjara serta pelaksanaannya, selain cadangan yang bersesuaian.
“Syor itu harus segera disusuli dengan tindakan responsif oleh KDN dan Jabatan Penjara,” katanya.
Sumber: BH Online
– Imedikel TV






