Home Sukan SPENCE PEMAIN MUSLIM PERTAMA SERTAI SKUAD ENGLAND

SPENCE PEMAIN MUSLIM PERTAMA SERTAI SKUAD ENGLAND

LONDON: Djed Spence berharap dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang sekiranya dia menjadi pemain Muslim pertama yang mewakili skuad senior lelaki England.

Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro pertahanan sayap Tottenham itu, yang sudah melakukan enam penampilan bersama skuad England Bawah-21 tahun, dipanggil buat kali pertama ke skuad senior bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Serbia.

Ia menandakan kebangkitan semula bagi bekas pemain Middlesbrough itu, yang pernah dipinjamkan tiga kali oleh Spurs ke Rennes, Leeds dan Genoa, sebelum akhirnya berjaya menempatkan diri dalam pasukan utama musim lalu.

Walaupun Persatuan Bolasepak (FA) England tidak menyimpan rekod agama pemain, difahamkan Spence berpotensi menjadi lelaki Muslim pertama yang beraksi bersama skuad England.

“Sangat bersyukur, ia sesuatu yang menakjubkan. Saya benar-benar hilang kata-kata,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

“Saya banyak berdoa, sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Dalam detik paling sukar, saat paling gelap dalam hidup saya, saya tetap percaya Tuhan sentiasa ada bersama saya. Keimanan saya sangat penting bagi saya,” katanya lagi.

England akan menentang Andorra di Villa Park tengah malam Ahad sebelum berkunjung ke Belgrade menentang Serbia pada 10 September.

Spence berkata dia tidak merasakan sebarang tekanan tambahan kerana agamanya, tetapi berharap kisahnya dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Saya tidak rasa tertekan. Saya hanya bermain bola sepak dengan senyuman, gembira dan selebihnya akan mengikut rentak.

“Kalau saya boleh lakukannya, anda juga boleh. Bukan hanya kanak-kanak Muslim, tetapi semua anak-anak tanpa mengira agama. Tetapkan matlamat anda, dan anda boleh mencapainya,” katanya. – AGENSI, HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here