Home Buletin Semasa PENIAGA MANIPULASI HARGA: KPDN KELANTAN KELUAR 455 KOMPAUN RM136,600

PENIAGA MANIPULASI HARGA: KPDN KELANTAN KELUAR 455 KOMPAUN RM136,600

 Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan 30 peratus peniaga, termasuk peniaga ayam, terbabit dalam manipulasi harga barangan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, tindakan itu menyebabkan sebanyak 455 kompaun dikeluarkan dengan nilai kutipan keseluruhan RM136,600.

“Antara modus operandi dikesan, peniaga mengenakan harga mengikut penampilan pelanggan jika berpakaian kemas dikenakan harga lebih tinggi, manakala pelanggan berpenampilan biasa diberi harga lebih rendah.

“Bagi mengelakkan masalah itu terjadi, pihak kami memastikan peniaga meletakkan tanda harga pada setiap barangan mengikut ketetapan semasa,” katanya ketika ditemui pada Program Peluncuran Pasar Sumayyah sebagai Pasar Patuh di sini, hari ini.

Azman turut menjelaskan, pihaknya melakukan penyamaran di premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Sementara itu, seramai 260 peniaga di Pasar Sumayyah terbabit dalam pelaksanaan Pasar Patuh, sekali gus menjadi lokasi pertama terpilih di Kelantan.

“Pasar Sumayyah ini adalah satu-satunya terpilih di Kelantan untuk Pelancaran Pasar Patuh di mana kita ingin pastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya akan mengembangkan Pasar Patuh di daerah lain secara berperingkat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here