KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai memilih pendekatan lebih realistik dan matang dalam merangka perancangan musim 2026 dengan memberi keutamaan terhadap pemulihan fizikal serta kestabilan mental berbanding mengejar keputusan jangka pendek.
Memetik laporan Harian Metro, musim baharu bukan satu permulaan segar buat mereka selepas melalui kalendar padat sepanjang tahun lalu apabila menyertai hampir 22 kejohanan, sekali gus memberi kesan kepada tahap kecergasan dan proses pemulihan.
Keadaan itu turut dirasai apabila mereka terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia serta suku akhir Terbuka India selepas tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Selepas ini, Soon Huat-Shevon dijadual turun beraksi pada Masters Indonesia Masters yang membuka tirai esok, dengan cabaran awal membabitkan pertemuan menentang beregu tuan rumah, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil.
Tahun lalu, perjalanan mereka di Masters Indonesia terhenti di suku akhir selepas tewas kepada beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 15-21,9-21.
Menurut Shevon, cabaran sebenar pada awal musim bukan sekadar persaingan di gelanggang, sebaliknya keupayaan tubuh untuk pulih dengan baik terutama bagi pemain yang semakin berusia dan memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang.
“Kami datang ke kejohanan besar seperti Super 1000 dan Super 750 dengan keletihan yang masih ada.
“Jadi kami perlu lebih bijak, kurangkan tekanan ke atas diri sendiri dan fokus pada pemulihan,” katanya.
Atas faktor itu, pasangan suami isteri berkenaan tidak meletakkan sasaran besar buat masa ini, sebaliknya memilih pendekatan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan.
Dalam aspek permainan, Shevon mengakui permulaan perlahan masih menjadi isu utama perlu diperbaiki, khususnya dari sudut kawalan emosi dan ketenangan sebaik melangkah masuk ke gelanggang.
“Saya cenderung berasa gementar pada awal perlawanan.
“Jadi fokus saya sekarang adalah mengawal emosi, pemikiran dan minda kerana bahagian itu paling mencabar dan ambil masa untuk diperbaiki,” jelasnya.
Soon Huat pula menegaskan kestabilan mental menjadi asas utama bagi memastikan pelaksanaan taktikal berjalan lancar, selari dengan kematangan pasangan berkenaan yang kini lebih menitikberatkan kelangsungan prestasi jangka panjang berbanding keputusan segera.
Untuk rekod, mereka sebelum ini menamatkan kemarau gelaran di tempat sendiri dengan menjuarai Masters Malaysia 2024 serta muncul juara Terbuka Switzerland 2024. – HMetro Online –
IMedikel TV






