PUTRAJAYA: “Saya bercerai sebab lain, kenapa nak terasa pula?” kata pelakon popular, Sharnaaz Ahmad apabila ada pihak mempersoal tindakannya menegur pempengaruh agar tidak menjadikan isu ‘takut bini’ sebagai bahan kandungan.
Memetik laporan Berita Harian, Sharnaaz atau pemilik nama sebenar, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 41, berkata dia bercerai dengan bekas isteri Noor Nabila kerana mereka tiada persefahaman.
“Saya bercerai dengan Nabila 100 peratus sebab benda lain dan ia mengenai persefahaman dan tiada kena mengena tentang tak hormat dan sebagainya.
“Saya boleh cakap Nabila tak pernah bersikap kurang ajar sampai macam mereka yang muat naik video kontroversi kerana dia tak pernah buat macam itu.
“Kami bercerai kerana tiada persefahaman, tapi hubungan kami masih okay sampai sekarang dan tiada masalah pun,” katanya ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini.
Mengulas lanjut, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu berkata, disebabkan hubungan yang baik, kedua-duanya akan saling bekerjasama dalam soal berkaitan anak tunggal mereka Jebat Jayden.
“Kami okay sahaja sahaja dan dia pun tahu saya pergi mana pun. Malah, saya akan tolong jaga anak kalau dia ada urusan termasuk dia tolong ‘orderkan’ makanan sekali. Kami tak pernah ada masalah.
“Kalau saya ada teman wanita atau jika dia ada teman lelaki dan sudah berkahwin lain pun, saya tetap akan hormat pada suaminya.
“Bagi saya, kalau kita sudah ada tahap kematangan dan saling memahami itu, insya-Allah, tiada masalah dalam hubungan,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran video di Instagram (IG), Sharnaaz menegur pempengaruh agar tidak menjadikan isu ‘takut bini’ sebagai bahan kandungan demi tontonan dan hiburan ramai sekali gus memberi kesan negatif kepada rumah tangga pempengaruh itu sendiri.
Bagaimanapun, ada komen daripada pengikut yang mengaitkan perkongsian video Sharnaaz itu dengan perceraiannya bersama bekas isteri.
Untuk rekod, Sharnaaz berkahwin dengan Noor Nabila pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki. – HMetro Online –
IMedikel TV






