Home Buletin Semasa SINDIKET GUNA DUA ALZA TUMPAS, 2.8 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

SINDIKET GUNA DUA ALZA TUMPAS, 2.8 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Taktik sindiket menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza bagi menyeludup 2.8 tan minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di dua lokasi berasingan di Pasir Putih dan Pasir Mas, semalam.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.

Manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri selepas kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh sebuah bangsal ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, hasil risikan yang dijalankan antara jam 12.20 tengah hari hingga 1.30 petang, pasukan operasi mengesan dua Perodua Alza berwarna merah dan biru yang dipercayai digunakan untuk mengangkut minyak masak bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran.

“Pasukan kemudian mengekori kedua-dua kenderaan itu ke sebuah lokasi yang dipercayai menjadi tempat bekalan diperoleh sebelum bertindak menyerbu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Pasir Puteh berhampiran sebuah stesen minyak, sebuah Perodua Alza berwarna merah berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1,445 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama di dalam kenderaan itu.

“Pemandunya gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan pemilikan serta pengangkutan barang kawalan terbabit sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebuah lagi Perodua Alza berwarna biru bertindak melarikan diri sebelum terbabas dan merempuh sebuah bangsal di Kampung Jakar, Banggol Che Dol, Pasir Mas.

Bagaimanapun, beliau berkata pemandunya berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan pihak berkuasa.

Katanya pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan itu menemukan 80 kotak minyak masak paket bersubsidi seberat 1,360kg yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Turut disita ialah kenderaan berkenaan bersama beberapa dokumen yang ditinggalkan di dalamnya. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM43,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha mengesan suspek yang melarikan diri masih diteruskan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here