Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Cubaan menyeludup 17,680 kilogram (17.6 tan) minyak masak paket bersubsidi ke Thailand dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Telaga Bata, Chabang Empat, malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 10.45 malam itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas dan Kota Bharu menahan sebuah lori kargo jenis Nissan UD selepas menjalankan risikan serta pemantauan di sekitar Kota Bharu dan Tumpat.
Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 1,040 kotak minyak masak paket satu kilogram membabitkan keseluruhan 17,680 kilogram minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
“Dalam operasi itu seorang pemandu lori dan seorang kelindan warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori mengaku diupah RM500 untuk menghantar muatan berkenaan ke lokasi yang telah ditetapkan oleh individu lain.
“Bekalan minyak masak itu diambil dari luar negeri iautu di Melaka dan Pahang sebelum dibawa ke kawasan berhampiran pangkalan haram di Tumpat bagi tujuan penyeludupan,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya nilai rampasan minyak masak bersubsidi dianggarkan RM44,200, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk lori yang digunakan mencecah RM94,200.
Beliau berkata, serbuan itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan penguat kuasa yang mengesyaki lori berkenaan digunakan untuk membawa barang kawalan bersubsidi bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran yang sah,” katanya.
IMedikel TV






