Home Buletin Semasa WARGA EMAS HILANG 10 HARI, PENDUDUK ADAKAN SOLAT HAJAT

WARGA EMAS HILANG 10 HARI, PENDUDUK ADAKAN SOLAT HAJAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang warga emas, Rosnani Mahmood, 62, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Wakaf Stan sejak Jumaat, 10 Julai lalu masih belum ditemukan meskipun pelbagai usaha pencarian telah dilakukan oleh ahli keluarga dan pihak berkaitan.

Anak saudaranya, Wan Mohd Hirmanuzi Wan Ibrahim, 48, berkata kehilangan ibu saudaranya hanya disedari apabila ahli keluarga gagal menghubunginya sebelum mereka bertindak memeriksa rumah mangsa.

Menurutnya, mereka menghubungi beberapa ahli keluarga termasuk anak saudara dan abang mangsa di Tanah Merah, namun tiada seorang pun mengetahui keberadaan Rosnani.

“Apabila kami pergi ke rumahnya, motosikalnya juga tiada. Kami terpaksa memecah masuk ke dalam rumah untuk memastikan keadaannya, namun dia tidak berada di dalam rumah.

“Kami kemudian meneruskan pencarian di rumah rakan-rakannya yang berhampiran, namun masih gagal menemuinya,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis pertama dibuat pada malam Sabtu sekitar jam 9 malam sebelum laporan kedua dibuat pada keesokan harinya bagi membantu memperluaskan usaha pencarian.

Pada hari berikutnya, keluarga dimaklumkan bahawa motosikal Modenas Kriss milik Rosnani ditemui ditinggalkan di tepi tali air berhampiran Kampung Wakaf Stan.

Memasuki hari ke-10 kehilangan mangsa, ahli keluarga bersama penduduk kampung mengadakan solat hajat di masjid dengan kerjasama seorang ustaz dari Pondok Kenali bagi memohon agar Rosnani segera ditemukan.

Wan Mohd Hirmanuzi berkata, keluarga tidak pernah berputus asa dan terus berharap mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.

“Kami berharap jika ada sesiapa yang ternampak atau mempunyai sebarang maklumat mengenai ibu saudara saya, segera hubungi pihak berkuasa atau maklumkan kepada keluarga bagi membantu usaha pencarian,” katanya.

Wan Hirmanuzi berkata walaupun ibu saudaranya tinggal bersendirian kerana tidak pernah berkahwin, namun kebajikan wanita itu sentiasa dipantau oleh ahli keluarga, khususnya mereka yang menetap berhampiran kediamannya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here