Home Luar Negara SIMPAN 2.9 JUTA LOGIN, KATA LALUAN UNTUK KEGIATAN HARAM

SIMPAN 2.9 JUTA LOGIN, KATA LALUAN UNTUK KEGIATAN HARAM

124
0

TOKYO: Login dan kata laluan milik 2.9 juta individu ditemui dalam komputer yang dirampas polis Jepun daripada seorang lelaki warga China.

Pekerja sebuah syarikat di Tokyo berusia 30 tahun itu pernah ditahan Februari lalu kerana mengakses akaun dalam talian orang lain secara haram.

Kelmarin, Polis Wilayah Kanagawa menyerahkan waran baharu, atas tuduhan sama yang berkaitan pelanggaran undang-undang yang melarang akses komputer tanpa kebenaran.

Polis juga menemui 100 juta alamat emel dalam komputer berkenaan, kata sumber penyiasatan dilapor Japan Times.

Pasukan penyiasat mengesyaki lelaki itu menyedut maklumat melalui pancingan data atau meminta orang ramai menaip maklumat di laman palsu, mahupun menjumpainya di ‘web gelap’, yang hanya boleh diakses melalui saluran yang tidak dikenali.

Suspek menafikan semua tuduhan itu.

Menurut NHK, terdapat program software untuk memancing data dalam komputer suspek.

Menurut Majlis Anti-phishing Jepun, sejumlah 960,000 kes pancingan data dilapor pada 2022, meningkat kira-kira 440,000 kes berbanding 2021.

Pada Februari, lelaki itu ditahan kerana disyaki menggunakan akaun orang lain secara kerap untuk membeli 12 karton rokok bernilai ¥69,925 (RM2,291.06) di kedai serbaneka di Edogawa Ward, Tokyo.

Dia juga didakwa mengakses akaun individu lain secara haram untuk melayari Mercari, pasar lambak dalam talian, sebanyak 12 kali antara 2021 dan 2022.

Polis percaya lelaki itu ketua bagi kumpulannya – semua warga China berumur antara 10 dan 32 tahun – melakukan konspirasi untuk menceroboh data peribadi, menurut NHK.

Bahagian Jenayah Cyber Polis Kanagawa sudah menubuhkan pasukan khas bersama polis wilayah Iwate, Saitama, Fukuoka, Chiba, Shizuoka, Ibaraki dan Yamagata bagi menyiasat kes berkenaan.

Sumber: HMetro Online & Agensi

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here