CHELSEA: Thiago Silva mengkritik strategi pemilik Chelsea, Todd Boehly berikutan kegagalan pasukannya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
The Blues tewas 2-0 kepada Real Madrid di Stamford Bridge dan 4-0 secara agregat.
Ia mengakhiri harapan Chelsea untuk mencapai sesuatu musim ini selepas turut berada di tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris, 10 mata di belakang kelayakan Eropah dengan hanya tujuh perlawanan berbaki.
Kemerosotan prestasi Chelsea bertambah parah selepas kelab membelanjakan sekitar 600 juta pound (RM3.31 bilion) sepanjang jendela perpindahan musim panas lalu serta Januari.
Boehly, yang tiba tahun lalu, sudah memecat dua pengendali – Thomas Tuchel dan Graham Potter – dan melantik Frank Lampard sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim, namun legenda Chelsea itu tewas keempat-empat perlawanan pertamanya.
“Saya rasa langkah pertama sudah diambil, langkah yang tidak betul, tetapi ia sudah berlaku.
“Kita tidak boleh menyalahkan pengurus jika kita tidak mengambil tanggungjawab. Ia tempoh yang sukar untuk kelab, dengan banyak keputusan sukar dibuat.
“Pertukaran pemilik, ketibaan pemain baharu – kami perlu mengubah suai bilik persalinan menjadi lebih besar bagi memuatkan skuad.
“Perkara positifnya adalah ada pemain hebat dalam skuad tetapi pada masa sama akan ada pemain yang menjadi tidak gembira.
“Akan sentiasa ada pemain yang kecewa kerana tidak semua dapat bermain. Pengurus hanya boleh memilih 11 daripada skuad yang dibarisi 30 pemain – ia sesuatu yang sukar.
“Kita menandatangani lapan pemain baharu pada Januari, ia perlu dihentikan dan rancang strategi dengan betul, jika tidak kesilapan sama akan berulang pada musim depan,” kata Silva.
Silva turut menegaskan yang tanggungjawab tidak hanya terletak pada pengendali, sebaliknya pemain juga perlu memikulnya jika keputusan tidak memberangsangkan.
“Semua orang suka bercakap tentang menukar pengendali. Saya rasa, sebagai pemain, kami juga perlu memikul tanggungjawab.
“Kita sudah mempunyai tiga pengendali musim ini, termasuk empat dengan Bruno tetapi masih gagal untuk menang. Kami tewas hari ini dan bersama Lampard, kami belum menang,” katanya.
Sumber: BH Online & Agensi
Imedikel TV






