Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
BENTONG: Sebanyak 25 kediaman penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Karak Setia dibersihkan menerusi program gotong-royong membabitkan penyertaan 29 agensi kerajaan, sukarelawan dan penduduk setempat, kelmarin.
Program yang diselaraskan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong itu turut melibatkan enam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah ini dalam usaha membantu mangsa membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda bencana berkenaan minggu lalu.
Tumpuan utama gotong-royong itu adalah mengalihkan pelbagai peralatan serta membersihkan kediaman daripada kotoran dan sisa banjir kilat bagi membolehkan penduduk kembali menduduki rumah mereka dalam keadaan lebih selesa.

Turut menyertai program berkenaan ialah Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V. Arumugam.
Pihak penganjur dalam kenyataan media merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, sukarelawan serta penduduk setempat yang menyumbangkan tenaga, masa dan komitmen bagi membantu masyarakat terjejas.
Sokongan wakil rakyat menerusi tajaan makanan kepada peserta program turut mencerminkan keprihatinan dan komitmen dalam membantu penduduk yang berdepan kesukaran akibat bencana itu.

Antara agensi yang terlibat ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Hutan Daerah Bentong dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Kerjasama bersepadu itu diharap dapat menyuntik semangat kepada mangsa banjir untuk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala, selain meringankan beban mereka dalam proses pemulihan selepas bencana.
IMedikelTV






