MUAR, JOHOR: Siasatan kes kematian empat beradik dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor pada 29 Mac lalu, dijangka selesai dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan itu, yang membabitkan pelbagai agensi lain, sudah 85 peratus ke 90 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya tidak lama lagi.
“Saya tak boleh anggarkan (bila tempoh siasatan akan selesai secara tepat) sebab kita banyak bergantung kepada laporan daripada agensi lain juga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Setakat kelmarin, Raiz Mukhliz berkata, pihaknya sudah selesai merakamkan keterangan enam individu, termasuk ahli keluarga mangsa yang terkorban serta mereka yang duduk di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Kita juga mengambil keterangan anggota polis yang menerima maklumat pertama kejadian dan anggota pasukan penyelamat di tempat kejadian yang membantu menyelamat serta mengeluarkan mangsa,” katanya.
Kejadian menyayat hati itu pada jam 7.49 malam itu, meragut empat nyawa kanak-kanak, dengan mayat ditemukan di bilik air di kawasan kediaman berkenaan.
Jenazah empat adik-beradik berkenaan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






