KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah berkongsi detik penuh bermakna apabila buat pertama kalinya dia menguruskan sebuah majlis perkahwinan dan lebih istimewa, majlis itu adalah untuk ibu kandungnya sendiri, Fauziah Sarman, yang selamat diijabkabulkan dengan jejaka bernama Zainal, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, menerusi hantaran di Threads, Shila meluahkan rasa syukur apabila segala perancangan majlis lancar meskipun ia pengalaman pertamanya memegang ‘tugas besar’ sebagai anak yang menjadi wakil keluarga.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik semalam. Pertama kali menjadi ‘mak pengantin’, bila salam kaut orang beri kepada kita (tetapi sudah tentu semuanya dimasukkan ke dalam beg tangan mak saya),” tulisnya.
Menurut Shila, persiapan majlis termasuk pilihan busana yang di taja oleh Seth & Luna serta sentuhan penata rias untuk kedua-dua mempelai berjaya diselesaikan tanpa sebarang kekangan besar.
Namun, katanya, senarai dokumentasi perkahwinan antara cabaran yang tidak dijangka.
“Mereka tidak percaya bahawa dokumentasi itulah yang akan memeningkan dan tidak boleh dibuat pada saat akhir. Alhamdulillah, semuanya sempat disiapkan,” tulisnya.
Lebih mencuit hati apabila Shila berkongsi bahawa ibunya dan Zainal tidak pernah menghadiri kursus kahwin sebelum ini, membuatkan mereka sedikit keliru apabila diberitahu ia adalah salah satu syarat penting.
“Yang paling lucu sebab mak dan babah tidak pernah pergi kursus kahwin. Ada yang kata perlu pergi, terus mereka pening,” tulisnya.
Walau apapun cabaran kecil yang dilalui, Shila menzahirkan penghargaan kepada semua yang mendoakan kelancaran majlis dan kebahagiaan buat ibu serta bapa tirinya itu.
“Kebahagiaan itu milik semua, Insya-Allah cepat atau lambat sahaja. Perjalanan kita tidak akan pernah sama, tetapi kita semua mahu ke pengakhiran destinasi yang sama juga,” tulisnya.
Di akhir perkongsian, Shila turut merakamkan penghargaan buat suaminya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, yang setia menemani sepanjang persiapan dan majlis berlangsung.
Sebelum ini, Fauziah berstatus ibu tunggal selama dua tahun selepas sah bercerai dengan bekas suami juga pelakon dan penyanyi, Datuk ND Lala, 64, pada 2 Ogos 2023. – BH Online –
IMedikel TV






