TEL AVIV: Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) berkata, seorang wanita terbunuh di kawasan Tel Aviv selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel pada Sabtu, memetik laporan AFP menerusi Harian Metro.
“Paramedik mengesahkan kematian seorang wanita berusia 40-an yang mengalami kecederaan parah,” menurut kenyataan MDA.
Terdahulu pada Sabtu, MDA menyatakan seorang wanita dalam keadaan kritikal adalah antara 21 individu yang cedera dalam serangan Iran.
Wartawan AFP dan saluran televisyen Israel melaporkan, pasukan penyelamat serta anggota bomba dikerahkan di beberapa bahagian Tel Aviv, dengan kerosakan fizikal dilaporkan berlaku di bandar itu.
Imej AFPTV menunjukkan jalan yang dikelilingi bangunan kediaman musnah akibat letupan, selain beberapa kereta hangus terbakar.
Anggota bomba memadamkan api yang tercetus di kawasan sekitar, manakala pasukan penyelamat memindahkan mangsa yang cedera.
Sepanjang malam, wartawan AFP melaporkan bunyi letupan kuat di kawasan Tel Aviv dan Tebing Barat yang diduduki, ketika sistem pertahanan udara Israel memintas bedilan peluru berpandu.
Tentera Israel menyatakan “beberapa titik impak” dilaporkan di seluruh negara.
Bercakap dari salah satu lokasi impak, jurucakap polis Israel, Dean Elsdunne berkata, pasukan penyelamat sedang bergerak dari bangunan ke bangunan bagi memeriksa kerosakan dan kemungkinan terdapat lagi mangsa cedera. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






