Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 1,200 peserta mengenakan kain sarong batik ketika menyertai acara ‘Fun Walk’ yang dianjurkan oleh Kota Bharu Medical Centre (KBMC), hari ini.
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Nazri Yaakob berkata, pihaknya membuat satu kelainan dengan mengetengahkan elemen budaya Kelantan dalam acara itu sempena menyokong tahun melawat Kelantan pada kali ini.

“Ini merupakan kali pertama kita buat acara ‘Funwalk’ memandangkan sebelum ini sudah dua kali berturut-turut kita adnjurkan ‘FunRide’.
“Jadi kita mengambil inisiatif agar peserta yang menyertai mengenakan sarong batik sesuai dengan tema kita iaitu ‘Sarong Batik’ sempena tahun melawat Kelantan pada kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni peserta pada Program FunWalk di KBMC, di sini, hari ini.
Menurut Nazri, acara yang mendapat sokongan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan itu melibatkan perjalanan sejauh 4.4kilometer bermula jam 7 hingga 9 pagi.
Katanya, kesemua peserta tiba di garisan penamat dengan diiringi paluan rebana ubi.

“Di samping itu, ada juga acara lain seperti ‘fitness challenge’, pertandingan busana tercantik bagi kanka-kanak berumur bawah 9 tahun dan pelbagai lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta yang ditemui, Hazreen Hamzah, 36, dari Kok Lanas mengenakan busana tradisional dengan memakai tanjak dan menyarong baju kemeja batik ketika berjalan beramai-ramai.

“Saya mengambil pendekatan untuk memakai tanjak bagi menyokong acara yang bersesuaian dengan tema.
“Alhamdulillah saya lihat ramai yang mengenakan sarong batik dan saya juga rasabersemangat apabila lihat ramai yang menyertainya,” katanya.
Jelasnya, dia juga aktif dalam acara sukan dan ini merupakan sebahagian daripada usahanya menjaga kesihatan serta mengekalkan gaya hidup sihat.
IMedikel TV






