NEW YORK: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata pasukannya akan memberi “perhatian khusus” kepada Lionel Messi pada final Piala Dunia awal pagi Isnin ini, namun menolak penggunaan kawalan individu ke atas kapten Argentina itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, De la Fuente memberitahu wartawan pengalaman lalu mengajarnya betapa sukar untuk mengekang pemenang Ballon d’Or lapan kali itu menerusi pendekatan kawalan seorang lawan seorang.
Jurulatih Sepanyol itu mengimbau pengalamannya semasa membimbing pasukan remaja Sevilla ketika Messi masih beraksi di peringkat remaja bersama Barcelona.
Menurutnya, hampir mustahil untuk memastikan pemain itu tidak memberi impak sepanjang perlawanan.
“Kami pergi ke Barcelona dan saya sudah mendengar banyak cerita mengenai seorang pemain muda bernama Messi.
“Jadi kami menugaskan seorang pemain untuk mengawalnya secara individu, tetapi pada minit ke-70 saya mengeluarkan pemain itu kerana dia sudah menerima kad kuning.
“Ketika itu kedudukan masih 0-0 dan dalam tempoh 15 minit selepas itu, Messi menjaringkan empat gol ke atas kami.
“Jadi kali ini kami tidak akan menggunakan kawalan individu. Kami perlu sentiasa berwaspada dan sudah tentu memberi perhatian khusus kepadanya,” katanya.
Messi yang kini berusia 39 tahun mempamerkan beberapa aksi terbaiknya sepanjang kejohanan bagi membantu Argentina mara ke final, yang hampir pasti menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia.
“Messi tiada tandingan.
“Dia menjadi contoh kepada atlet muda dari segi sikap dan tingkah laku, terutama dengan aksi luar biasanya di Piala Dunia pada usia seperti sekarang,” kata De la Fuente.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






