TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa dua kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz meletup selepas melanggar periuk api pada Sabtu, namun dakwaan itu dinafikan tentera Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, IRGC berkata dua kapal tangki itu cuba melalui kawasan periuk api di selatan Selat Hormuz yang didakwa diwujudkan hasil tindakan mengelirukan agensi perisikan AS.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan identiti kedua-dua kapal berkenaan.
“Sejam lalu, dua kapal tangki minyak yang cuba melalui kawasan periuk api di selatan Selat Hormuz akibat tindakan mengelirukan agensi perisikan Amerika meletup dan terbakar.
“Bagi melindungi harta benda dan, lebih penting lagi, nyawa, pelaut tidak seharusnya terpedaya dan memasuki kawasan periuk api,” menurut kenyataan itu.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan menerusi hantaran di platform X.
“Seperti kebanyakan dakwaan IRGC, kenyataan ini adalah palsu,” menurut CENTCOM.
Dalam kenyataan berasingan pada Sabtu, IRGC turut mendakwa menyekat empat kapal yang cuba melalui Selat Hormuz.
Menurutnya, empat kapal yang didakwa melanggar arahan itu disekat dalam operasi gabungan menggunakan peluru berpandu dan dron selepas cuba melalui laluan berkenaan dengan sokongan tentera AS.
Iran sekali lagi dilaporkan hampir menutup Selat Hormuz selama seminggu.
Tehran berusaha mengawal laluan perairan strategik itu dan mengarahkan kapal tangki serta kapal kargo menggunakan laluan berhampiran pantai Iran di utara selat, selain memberi amaran supaya tidak menggunakan koridor di bahagian selatan yang cuba dilindungi AS.
Sebagai tindak balas terhadap ancaman Iran ke atas perkapalan di Selat Hormuz, AS mengenakan semula sekatan laut terhadap pelabuhan Iran selain melancarkan serangan udara setiap malam ke atas sasaran di negara itu bagi melemahkan keupayaan Tehran memantau dan mengancam laluan berkenaan.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






