KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua wira dan wirawati Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sudah dibebaskan sepenuhnya dan selamat tiba di Istanbul malam tadi waktu Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasminya, semalam.
“Alhamdulillah, semua wira dan wirawati Malaysia dalam Global Sumud Flotilla sudah bebas dan akan tiba di bumi Istanbul malam ini (semalam) waktu Malaysia, insyaAllah,”katanya dalam kenyataan semalam.
Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pembebasan itu dan menzifatkannya sebagai hasil daripada doa rakyat Malaysia serta usaha berterusan semua pihak yang berganding tenaga memastikan keselamatan para aktivis dan sukarelawan negara terjamin.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang disifatkan sebagai sahabat karib, serta pemimpin negara sahabat lain yang turut membantu melancarkan proses pembebasan tersebut.
“Terima kasih kepada sahabat karib saya Presiden Erdogan dan rakan pimpinan negara-negara sahabat lain yang membantu memudahkan urusan pembebasan setiap aktivis dan sukarelawan anak Malaysia ini,” katanya.
Misi Global Sumud Flotilla disertai aktivis dan sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, yang membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.