Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebut sahaja penyakit kanser payudara pasti ramai yang menggeruni kerana ia mungkin menjadi penyebab utama kematian terutamanya bagi golongan wanita.
Namun stigma tersebut tidak berpihak kepada seorang penghidap kanser payudara tahap 2, Mek Bidah Abdul Rahman, 62, dari Pasir Tumboh kerana semangat dirinya yang tinggi untuk bebas dan pulih daripada penyakit itu.
Mek bidah memberitahu, dia mula mendapati ketulan di sekitar payudara dan telah disahkan menghidap kanser payudara tahap 2 sejak 2013 dan sehingga kini masih menjalani rawatan.

“Sebaik sahaja saya dapati terdapat ketulan di sekitar payudara, saya tetap berfikiran positif dan memilih untuk membuat pengesanan awal di hospital.
“Detik kesakitan saya rasai adalah ketika jalani rawatan kimoterapi, namun sekarang saya bersyukur kerana kekerapan saya perlu berjumpa doktor setiap enam bulan sekali dan ujian memogram perlu dilakukan sekali dalam setahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Kanser Sedunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, semalam.
Berkongsi serangan kanser itu, Mek Bidah menjelaskan, dia kerap merasa sakit pada bahagian lengan dan tidak boleh membuat kerja apabila penat kerana akan menjejaskan kesihatan dirinya.
Tambahnya, itu tidak menjadi penghalang buat dirinya berjuang kerana mendapat sokongan penuh daripada orang sekeliling sekaligus dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman di kalangan pesakit kanser.
“Ketika 2013 dahulu, saya tidak terdedah dengan kumpulan pesakit kanser dan menjalani hanya persendirian namun sekarang pihak hospital lebih memfokuskan untuk penghidap kanser dengan adanya pelbagai kemudahan khusus bagi penyakit ini,” katanya.
IMedikel TV






